KUALA TERENGGANU – Kerajaan negeri membentangkan Belanjawan 2026 dengan lebihan atau surplus sebanyak RM60 juta.
Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, hasil negeri pada tahun hadapan diunjurkan berjumlah RM1.998 bilion berbanding perbelanjaan mengurus sebanyak RM1.938 bilion.
“Kerajaan negeri Terengganu komited meningkatkan hasil janaan kepada RM288.59 juta, merangkumi hasil cukai (RM85.36 juta), hasil bukan cukai (RM203.23 juta) dan terimaan bukan hasil (RM1.709 bilion). Ia lebihan atau surplus sebanyak tiga peratus,” katanya ketika membentangkan belanjawan negeri 2026 pada Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu ke-15 di sini hari ini.
Ahmad Samsuri berkata, perbelanjaan mengurus pada tahun hadapan juga ditingkatkan kepada RM1.938 bilion berbanding RM1.887 bilion pada tahun ini merangkumi caruman kepada Kumpulan Wang Pembangunan sebanyak RM450 juta dan sektor sosial pula kekal menerima peruntukan terbesar iaitu RM323.80 juta.
“Peruntukan sektor ekonomi juga ditambah 20.6 peratus iaitu RM92.84 juta berbanding hanya 4.4 peratus dalam Belanjawan 2025, manakala sektor pentadbiran diperuntukkan RM33.37 juta. Tiga fokus utama diberikan iaitu memperkemas tadbir urus kerajaan, menstruktur daya tahan ekonomi dan melestarikan keperluan sosial,” katanya. – KOSMO! ONLINE














