PETALING JAYA – Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) hari ini mengeluarkan amaran Taufan Fung-Wong yang dikesan berada kira-kira 129 kilometer ke barat daya Vigan City, Filipina, awal pagi tadi.
Menurut MetMalaysia, taufan itu bergerak ke arah barat laut dengan kelajuan 30 kilometer sejam (KM/J), dengan kelajuan angin maksimum direkodkan pada 120km/j.
“Taufan Fung-Wong kini berada pada kedudukan latitud 17.4 darjah utara dan longitud 119.2 darjah timur, kira-kira 1,196km ke timur laut Kudat, Sabah,” menurut kenyataan itu.
Keadaan itu boleh menyebabkan angin kencang dan laut bergelora di beberapa kawasan perairan Laut China Selatan.
MetMalaysia turut mengeluarkan amaran ribut petir dijangka berlaku di Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak, Sarawak dan Sabah sehingga pukul 2 petang ini.
“Antara kawasan yang terlibat dalam amaran cuaca buruk itu adalah, seluruh negeri Perlis, Kedah dan Pulau Pinang.
“Selain itu, di Perak, Kerian, Larut, Matang Dan Selama, Hulu Perak,Kuala Kangsar, Manjung, Kinta, Perak Tengah dan Kampar turut terjejas,” ujarnya.
Bagi negeri Sarawak, cuaca buruk tertumpu di Tanjung Manis dan Daro manakala, Pantai Barat (Papar, Putatan, Penampang, Kota Kinabalu, Tuaran dan Kota Belud) dan Kudat (Kota Marudu dan Kudat) di Sabah.
Orang ramai dinasihatkan agar terus mengikuti perkembangan terkini cuaca melalui saluran rasmi mereka bagi memastikan sebarang perubahan keadaan cuaca dapat diambil perhatian segera. – KOSMO! ONLINE














