PETALING JAYA – “Saya dah kejut, tetapi anak tak mahu bangun.”
Itu alasan yang diterima seorang lelaki dipercayai guru kelas pelajar apabila ibu bapa memaklumkan ketidakhadiran anak masing-masing ke sekolah.
Menerusi hantaran pengguna laman Facebook, lelaki itu meluahkan rasa kecewa terhadap ibu bapa pelajar tersebut walaupun jujur dengan situasi berkenaan.
“Setiap hari, ibu bapa akan berkongsi alasan ketidakhadiran anak masing-masing di aplikasi WhatsApp. Satu pujian atas kejujuran ketidakhadiran anak tanpa berikan alasan anak sakit.
“Namun, jangan sampai terlalu menurut kehendak anak sehingga terlalu dimanjakan. Jangan sampai terpaksa bertuankan anak hanya untuk melayan karenah mereka (anak),” ujarnya.
Tambahnya, ketegasan diperlukan terutama dalam aspek pendidikan di sekolah walaupun terpaksa menghadap tangisan anak-anak.
“Biar mereka (anak) menangis sekarang, daripada ibu bapa yang menangis di kemudian hari kerana terlalu menurut dan memanjakan anak-anak,” katanya.
Perkongsian tersebut meraih pelbagai reaksi netizen yang berkongsi pengalaman sama namun tetap bersetuju dengan pesanan guru berkenaan.
“Saya tak berani tipu anak sakit, takut nanti sakit betul-betul. Walaupun ada alasan lain, saya akan jujur sahaja,” kata Fara Syuhaiba.
“Anak saya pun malas sekolah sehingga menangis setiap hari, namun saya tegas dan wajibkan dia ke sekolah kalau sihat dan tiada urusan penting,” komen Wan Shiqah.
“Saya memang kena mengamuk dulu setiap pagi, baru anak akan ke sekolah. Kalau tidak, anak bangun pagi sahaja pun sudah menangis walaupun cukup tidur,” kata Asmida. –KOSMO! ONLINE














