PETALING JAYA – Nights of Fright untuk tahun ke-11 yang telah berlangsung pada akhir bulan September lalu telah menjadi salah satu daya penarik dalam industri pelancongan di negara ini termasuk di juga di rantau Asia Tenggara.
Festival yang berjaya menarik lebih sejuta pengunjung sejak ia mula diperkenalkan pada tahun 2013 itu juga sekali gus menaikkan imej Sunway Lagoon sebagai lokasi festival seram terbesar dan paling lama berlangsung di rantau ini.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan, bagi tahun ini festival tersebut menampilkan tujuh tarikan seram baharu dan dua kegemaran peminat dengan bertemakan Malaysia, serantau, Hollywood dan global.
Antaranya adalah Escape of Hantu Kum Kum iaitu merasai pengalaman pelarian interaktif, Villain Hitting iaitu ritual budaya yang menyeramkan dan juga sudut foto seram yang mana ia adalah kerjasama pertama jenama ini dengan taman tema.
Selain itu, terdapat lapan rumah seram antaranya adalah Karak, Tiki Terror, The Puppetmaker, Blind Box, Horrorwood Studios; sebuah teater seram yang dikenali sebagai Teater Seram: Scary Tales Theater bersama Nadia Brian sebagai ‘PontianAxe’, tiga zon seram yang dikenali sebagai Hantu Hell, Pontianak X Pocong, Horrorwood Boulevard selain 11 permainan mendebarkan.

Lebih menarik, reka bentuk set yang mendalam dan jalan cerita berasaskan watak menjanjikan pengalaman menakutkan buat pengunjung yang belum pernah dirasai di rantau ini.
“Festival ini bukan sekadar hiburan kerana ia berjaya memacu pelancongan, meningkatkan permintaan hotel, makanan dan pengangkutan, serta membuka peluang pekerjaan kepada ratusan bakat kreatif.
“Nights of Fright® telah menjadikan Sunway City Kuala Lumpur sebagai hab hiburan bertema serantau, menggabungkan cerita rakyat tempatan dengan budaya seram global yang merentasi generasi,” jelasnya. -KOSMO! ONLINE














