fbpx
GAMBAR HIASAN

Makin ramai belia ketagih gajet, terlibat judi haram 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Kementerian Belia dan Sukan (KBS) memberi perhatian serius terhadap peningkatan aktiviti perjudian dan permainan dalam talian (online gaming) haram yang semakin menular dalam kalangan belia di negara ini.

Menterinya, Hannah Yeoh berkata, masalah itu bukan sahaja memberi kesan kepada kesihatan mental dan sosial anak muda, malah menyebabkan negara kehilangan sumber hasil akibat kegiatan perjudian maya yang sukar dikesan.

“KBS menyedari trend ini membimbangkan. Ramai belia kini ketagih kepada gajet dan permainan dalam talian yang disalah guna sebagai medium perjudian haram. Ia bukan sekadar isu hiburan, tetapi melibatkan masa depan dan kesejahteraan generasi muda.

“Walaupun KBS tidak mempunyai data terkini, saya ingin memberi jaminan bahawa perkara ini sedang dibincangkan secara berterusan antara KBS dan SPRM, dengan matlamat membentuk pendekatan bersepadu bagi melindungi belia,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Menurut Hannah, KBS kini berbincang secara berterusan dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) serta agensi penguat kuasa lain bagi mencari pendekatan bersama untuk mengekang kegiatan itu.

Beliau turut menegaskan, KBS akan memastikan aspek pendidikan dan kesedaran terhadap bahaya perjudian dalam talian dimasukkan dalam program belia dan sukan bagi membina ketahanan moral serta kawalan diri di kalangan anak muda.

Dalam pada itu, katanya, KBS juga sedang meneliti semula Akta Pembangunan Sukan 1997 (Akta 576) bagi memperkukuh kuasa penguatkuasaan Pesuruhjaya Sukan serta menutup sebarang kelompongan sedia ada dalam sistem kawal selia sukan negara.

“Pindaan akta ini dijangka dibentangkan tahun hadapan bagi memastikan kawalan yang lebih berkesan dan memperkukuh integriti dalam sektor sukan dan belia,” katanya.

Hannah turut mengingatkan bahawa isu integriti dan rasuah dalam sukan juga masih diberi keutamaan dengan kerjasama erat bersama SPRM melalui Memorandum Persefahaman (MoU) yang ditandatangani bersama persatuan sukan dan Majlis Sukan Negara (MSN).

“Perjudian haram dan rasuah dalam sukan adalah dua sisi gelap yang mesti dibanteras serentak. Kedua-duanya merosakkan masa depan belia dan mencemarkan imej sukan negara,” tegasnya. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI