MOSCOW – Seorang jutawan mata wang kripto meninggal dunia selepas kereta mewah yang dipandunya melambung, terbalik dan terbakar di sebuah lebuh raya di Russia, lapor akhbar The Sun UK.
Kemalangan berlaku sekitar pukul 1.30 pagi (waktu tempatan) di Lebuhraya Antarabangsa, Moscow semalam.
Alexei Dolgikh, 36, dilaporkan memandu kenderaan utiliti sukan Lamborghini Urus pada kelajuan 149.66 kilometer sejam sebelum hilang kawalan dan merempuh penghadang jalan.
Rakaman video dimuat naik di media sosial menunjukkan kereta itu terbalik dan meletup, dengan serpihan dan sejumlah wang kertas bertaburan di atas jalan.
Dolgikh dan seorang rakannya disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala dua lagi penumpang cedera parah.
Pejabat Pendakwa Raya Moscow mengesahkan siasatan sedang dijalankan untuk mengenal pasti punca nahas.
Dolgikh menerima 586 saman sejak memiliki Lamborghini Urus berharga £329,000 (RM1.8 juta) itu pada 15 bulan lalu.
Kebanyakan samannya adalah kesalahan memandu laju, demikian menurut media tempatan. – AGENSI














