SEREMBAN – Mahkamah Sesyen di sini hari ini menetapkan sebutan semula kes seorang bapa yang didakwa menyebabkan kematian dua beradik akibat lemas selepas kereta dinaiki mereka menggelongsor ke muara Sungai Linggi, Tanjung Agas di Port Dickson, pada 9 Januari depan.
Hakim N.Kanageswari membuat keputusan itu selepas Timbalan Pendakwa Raya Siti Khairiah Abdul Razak memberitahu mahkamah bahawa laporan perubatan dan bedah siasat berhubung kes itu masih belum lengkap.
Pada 12 September lalu, tertuduh Abdul Rahman Mahmud, 46, mengaku tidak bersalah di mahkamah sama atas pertuduhan menyebabkan kematian kecederaan tubuh badan yang mungkin boleh membawa kematian terhadap kanak-kanak berusia enam dan lapan tahun.
Kesalahan itu dilakukan lebih kurang pukul 11.45 pagi di muara Sungai Linggi, Tanjung Agas di Port Dickson pada 4 September lalu.
Sehubungan itu, tertuduh telah melakukan kesalahan mematikan orang dengan salah yang tidak terjumlah kepada kesalahan membunuh yang boleh dihukum di bawah Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan. – KOSMO! ONLINE














