fbpx
Keadaan di sekitar perumahan 19 pemilik tanah yang terlibat dalam proses pemindahan itu. Foto oleh SADDAM YUSOFF/KOSMO!

‘Keadilan dulu, baru pindah’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KLANG – Segelintir daripada 19 pemilik tanah yang terlibat dalam laluan pembinaan Lebuh Raya Pantai Barat (WCE) tetap berpendirian enggan berpindah kerana mendakwa nasib mereka masih tidak terbela.

Kawasan perumahan terlibat merupakan penempatan yang telah didiami sejak 1970-an dengan sebahagian keluarga terdiri daripada empat hingga lima generasi.

Seorang penduduk, M. Sivalingam, 45, berkata, keluarganya yang terdiri daripada sembilan orang daripada empat generasi masih menetap di kawasan sama kerana menuntut pampasan penuh sebelum berpindah.

“Ini tanah nenek moyang kami, bukan setinggan. Separuh ekar (0.2 hektar) kawasan rumah kami, tapi masih belum ada keadilan.

“Kami mahu 100 peratus dibayar terlebih dahulu dengan nilai yang setara sebab ada penduduk yang telah berpindah masih belum menerima bakinya sehingga kini,” katanya ketika ditemui Kosmo! di sini hari ini.

Sivalingam mengakui, pihaknya telah menerima 75 peratus daripada pampasan namun masih disimpan pada peguamnya.

“Kes ini belum selesai. Kami mahu keadilan. Tambahan, kami juga kecewa apabila dipaksa berpindah namun lokasi rumah gantian masih kabur. Keadilan dulu, baru pindah,” katanya.

Seorang lagi penduduk, Saravanan, 60, berkata, mereka kini hidup dalam ketidakpastian apabila diminta berpindah sedangkan rumah atau kawasan gantian di bawah skim Smart Sewa belum diumumkan secara rasmi.

“Rumah nak pindah pun kami tak tahu di mana. Kalau tempat pun belum pasti, macam mana kami nak keluar?,” katanya.

Jelasnya, penduduk tidak menolak pembangunan WCE, tetapi kebajikan mereka mesti dijaga sebelum sebarang tindakan pengosongan dijalankan.

“Kami faham lebuh raya ni penting untuk negeri, tapi biarlah pembangunan itu adil. Biar ada rumah dulu, baru boleh pindah,” katanya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sentosa, Dr Gunaraj George berkata, kerja-kerja perobohan rumah di Lot 11113, Kampung Jawa yang sepatutnya dijalankan pada esok ditangguhkan selama dua minggu lagi.

“Keputusan itu dicapai hasil perbincangan dan persetujuan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari,” katanya.

Dalam pada itu, menerusi sepucuk surat dari Pejabat Menteri Besar, tarikh masuk tapak bagi projek WCE ditangguhkan sehingga 24 November ini bertujuan memberi ruang kepada penyelarasan akhir bersama pihak-pihak berkaitan sebelum kerja pembersihan serta pembinaan dilakukan.

Kosmo! sebelum ini melaporkan kemelut pembinaan WCE melibatkan jarak 150 meter di Kampung Jawa yang berlarutan lebih 20 bulan berakhir dengan dengan tindakan penguatkuasan pengosongan terhadap 19 pemilik tanah.

Keengganan 19 pemilik tanah itu menjadi punca utama projek WCE Seksyen 3 tersebut tergendala meskipun lebih 90 peratus siap. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN