JAKARTA – Seorang lelaki di Trenggalek, wilayah Jawa Timur ditahan selepas memukul seorang guru yang menegur adik perempuannya kerana bermain telefon bimbit di dalam kelas, lapor portal berita iNews Jatim.
Ketua Polis Trenggalek, AKBP Ridwan Maliki berkata, suspek dikenali sebagai AK, 27, diberkas selepas klip video tersebar, memaparkan dia menyerang guru seni tersebut pada 31 Oktober lalu.
“Situasi itu didakwa tercetus apabila guru berkenaan menegur seorang pelajar perempuan kerana bermain telefon bimbit di dalam kelas.
“Berang dengan kejadian itu, abang pelajar terbabit datang ke rumah mangsa. Dia dilaporkan baru pulang dari solat Jumaat.
“Tanpa melengahkan masa, dia segera memukul guru itu,” kata Ridwan semasa sidang akhbar di Jabatan Polis Trenggalek, baru-baru ini.
Rakaman itu mencatatkan lebih 200,000 tontonan dan menimbulkan pelbagai reaksi.
“Jangan terima permohonan maaf, biarkan dia masuk penjara,” kata seorang netizen.
“Maka berfikirlah sebelum bertindak,” kata pengguna media sosial lain. – AGENSI














