BALING – Seorang lelaki ditemukan maut dalam keadaan tergantung pada pokok semambu berhampiran rumahnya di Kampung Lubuk Kabu, Kuala Pegang di sini, hari ini.
Pemangku Ketua Polis Daerah Baling, Deputi Superintendan Ahmad Salimi Md. Ali berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu daripada orang awam pada pukul 11.30 pagi.
“Lelaki berusia 34 tahun itu dikatakan memanjat pokok semambu sebelum ditemui dalam keadaan tidak bernyawa pada ketinggian 4.57 meter,” katanya. Menurut beliau, mangsa yang baru dua hari mendirikan rumah tangga disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Mayat lelaki itu dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar untuk dibedah siasat. – KOSMO! ONLINE














