fbpx
PENGGUNAAN telefon pintar dan tablet banyak memudahkan urusan dari segi pembelajaran untuk kanak-kanak, tetapi pendedahan berlebihan boleh memudaratkan.

Gajet bukan musuh, mudarat tidak dikawal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Telefon pintar yang mempermudahkan pelbagai urusan umat manusia kini suatu keperluan dalam kehidupan.

Dengan hanya beberapa sentuhan di skrin, banyak perkara dapat dilakukan dengan cepat dan mudah tanpa perlu keluar rumah.

Manfaat telefon pintar merangkumi hampir kesemua aspek harian termasuk perhubungan, pekerjaan, pendidikan dan kewangan.

Dalamnya namun terkandung juga anasir hiburan, media sosial dan permainan yang kini mencetuskan polemik alaf baharu.

Kekhuatiran tercetus berikutan obsesi keterlaluan golongan kanak-kanak dan remaja terhadap telefon pintar kian terserlah.

Beberapa kes membabitkan isu telefon pintar dalam kalangan golongan berkenaan semakin membimbangkan masyarakat.

Ikuti wawancara wartawan Kosmo! Ahad, Zulkifli Manzor bersama Pensyarah Kanan & Pakar Psikologi Klinikal, Pusat Kajian Psikologi dan Ke­sejahteraan Manusia ­(PsiTra), Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Hilwa Abdullah @ Mohd. Nor bagi mengupas isu ini.

KOSMO! AHAD: Bagaimana te­lefon pintar boleh membawa kesan positif dan negatif kepada kanak-kanak dan remaja?
DR. HILWA: Benar, telefon pintar banyak memberi manfaat untuk pendidikan, ekonomi, komunikasi dan sebagainya, tetapi jika tidak dikawal boleh membawa kepada masalah besar se­perti ketagihan.
Ketagihan ini bermaksud penggunaan berlebihan dan me­lampaui waktu sesuai buat mereka.

Apa yang dimaksudkan de­ngan ketagihan telefon pintar?
Ketagihan telefon pintar adalah penggunaan secara obsesif dan tidak terkawal sehingga menjejaskan emosi, tumpuan dan hubungan sosial.
Ia sering disebut sebagai ­nomophobia iaitu ketakutan apabila tidak dapat menggunakan telefon.

Adakah terdapat garis panduan masa penggunaan te­lefon pintar yang sesuai bagi golongan kanak-kanak?

HILWA berkata, anak-anak kecil memerlukan interaksi sosial dan bermain secara fizikal bukannya pendedahan kepada skrin seperti yang banyak berlaku ketika ini.

Menurut Academy of Pediatrics (AAP) dan Malaysian Paediatric Association (MPA), kanak-kanak di bawah usia dua tahun tidak dibenarkan langsung menggunakan telefon pintar.

Malangnya, kita lihat ramai ibu bapa membiarkan bayi usia setahun menonton video menerusi telefon pintar. Ini sangat membimbangkan.

Mengapa ramai ibu bapa berbuat demikian iaitu memberi telefon pintar kepada anak-anak kecil mereka?
Biasanya kerana mahu anak diam atau tidak meragam, tetapi ini bukan penyelesaian.
Anak kecil sebenarnya memerlukan interaksi sosial dan bermain secara fizikal, bukan skrin. Bila ibu bapa beri telefon pintar, komunikasi dan hubu­ngan keluarga jadi renggang.

Apakah kesan jangka panjang jika anak mula didedahkan kepada telefon pintar terlalu awal?
Kesan paling ketara adalah perkembangan sensori dan motor menjadi lambat ke­rana kanak-kanak hanya menyentuh skrin.

Selain itu, gangguan kepada sistem neurotransmitter dalam otak turut terganggu menyebabkan anak sukar mengawal diri akibat leka de­ngan teknologi serba pantas yang ada pada te­lefon pintar.

Ini sama seperti ketagihan dadah, cuma dalam bentuk moden iaitu ketagihan telefon pintar.

Adakah benar ketagihan te­lefon pintar boleh menyebabkan tingkah laku agresif dalam kalangan kanak-kanak dan remaja?
Terdapat kes menunjukkan kanak-kanak dan remaja yang ketagih bertindak agresif apabila telefon pintar mereka diambil.

Mereka mudah marah, hilang kawalan diri dan menunjukkan simptom kebimbangan seperti gelisah serta sukar fokus.

Jadi, ketagihan telefon pintar ini sama seriusnya dengan ketagihan dadah?
Daripada sudut saintifik, ya. Kajian menunjukkan kedua-duanya mengaktifkan laluan otak yang sama dan mengeluarkan hormon dopamin yang memberi rasa seronok.

Apabila rangsa­ngan itu berlebihan, otak menjadi ketagih kepada perasaan itu.

Apakah tanda-tanda anak sudah mula ketagih kepada telefon pintar?
Antara tanda awal mereka tidak boleh berpisah dengan telefon pintar, cepat marah bila diminta berhenti, hilang minat bergaul dan tidak tahu mengisi masa tanpa telefon pintar.

Malah ada sukar makan atau tidur kerana terikat dengan skrin.

Dalam hal ini, sejauh mana peranan ibu bapa untuk me­ngatasinya?
Peranan ibu bapa sangat besar. Sebenarnya masalah ini bermula dari rumah kerana ibu bapa yang memberi telefon pintar sejak kecil (atas sebab-sebab ter­tentu pada mulanya).

Membiarkan anak menonton lama-lama dan ada segelintir ibu bapa yang asyik dengan te­lefon akan membentuk tingkah laku ke­tagihan anak.

Bagaimana ibu bapa boleh mengawal situasi jika anak sudah ketagih?

ANAK-ANAK perlu disibukkan dengan aktiviti bersama rakan-rakan sebaya bagi mengelakkan mereka ketagih bermain gajet pada usia kecil.

Ibu bapa perlu tegas tetapi dengan pendekatan lembut. Jangan rampas telefon tanpa pengganti atau alternatif untuk mereka.

Gantikan dengan aktiviti menarik seperti melukis, membaca, bermain bersama atau berbual dalam suasana kekeluargaan yang menyeronokkan.
Yang penting libatkan diri dengan anak-anak.

Ramai ibu bapa memberi alasan anak memerlukan telefon pintar untuk tugasan sekolah. Adakah alasan ini wajar?
Benar, ada tugasan perlukan telefon, tetapi itu bukan alasan untuk penggunaan tanpa kawalan.

Gunakan ‘parental control’, tetapkan waktu tertentu dan pastikan anak menggunakannya di bawah pengawasan.

Bagaimana pula dengan pe­ranan pihak sekolah dalam isu ini?
Sekolah juga perlu jelas de­ngan garis masa komunikasi. Ja­ngan hantar mesej lewat malam atau luar waktu sekolah.

Jika perlu, semua komunikasi hanya melalui ibu bapa, bukan terus kepada pelajar menggunakan medium telefon bagi mengelakkan kebergantungan pelajar kepada gajet.

Terdapat ibu bapa risau jika larangan terlalu ketat menyebabkan anak ketinggalan maklumat. Adakah kerisauan ini munasabah?
Sebenarnya, kita sedang me­lahirkan generasi yang terlalu bergantung kepada mesej kumpulan.

Dahulu, tanpa WhatsApp pun kerja sekolah tetap siap. Jadi, anak perlu dididik untuk bertanggungjawab dan tidak terlalu bergantung kepada teknologi.

Adakah cadangan melarang kanak-kanak usia bawah 16 tahun menggunakan media sosial relevan dalam menangani isu ini?
Saya setuju. Pada usia tersebut, kematangan kognitif mereka belum cukup untuk mengawal diri.

Jika boleh dilaksanakan de­ngan tegas, ia langkah pencegahan terbaik bagi elak ketagihan sejak usia yang muda.

Apakah kesan fizikal dan sosial yang boleh dilihat pada anak yang ketagihan telefon?
Mereka kurang kontak mata, kurang kemahiran komunikasi dan sering tunduk melihat skrin.

Dari segi sosial, mereka mudah marah, kurang empati, sensitif dan sukar bergaul. Secara fizikal, kemahiran motor halus juga boleh terjejas.

Apakah perbezaan tingkah laku antara kanak-kanak yang ketagihan dengan yang tidak ketagih telefon pintar?
Kanak-kanak yang tidak ke­tagihan gajet lebih ceria, berani berinteraksi dan boleh berbual secara semula jadi.

Sebaliknya yang ketagihan cenderung pasif, diam dan hanya responsif terhadap telefon.

Dari sudut psikologi, apakah kesan jangka panjang kepada emosi mereka?
Mereka boleh mengalami kemurungan, kebimbangan, gangguan tumpuan dan hilang kawalan diri.

Apabila dewasa mereka mudah stres, tidak yakin diri dan ketagih kepada hiburan digital bagi melarikan diri dari realiti.

Adakah rawatan profesional diperlukan bagi kes ketagihan telefon pintar yang teruk?
Ya. Dalam kes serius, kita gunakan terapi tingkah laku kognitif (CBT) untuk membetulkan corak pemikiran dan tingkah laku.

Jika terlalu kronik, diagnosis dan ubat psikiatri mungkin diperlukan.

Apakah kos sosial dan kesihatan yang mungkin timbul jika isu ini tidak dibendung?
Ia boleh menjadi beban kesihatan mental negara.

Bila anak-anak mula dirawat sebagai pesakit psikiatri akibat ketagihan telefon, kos perubatan me­ningkat dan produktiviti generasi muda menurun.

Akhir sekali, apakah nasihat kepada ibu bapa dan masyarakat dalam mendepani isu ketagihan telefon pintar?
Mulakan dengan diri sendiri. Kurangkan penggunaan telefon di depan anak-anak.

Luangkan masa berkualiti bersama mereka. Telefon pintar bukan musuh, tapi jika tidak dikawal, ia boleh merosakkan hubungan, emosi dan masa depan anak-anak kita.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN