fbpx
Persembahan pembukaan pada Festival Idea Putrajaya di PICC Putrajaya pada 3 November lalu. Foto oleh FAIZ ALIF ZUBIR / KOSMO!

Festival Idea Putrajaya 2025 kini jadi acara tahunan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Festival Idea Putrajaya 2025 anjuran Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) bakal dijadikan sebagai acara tahunan serta dimasukkan dalam kalendar nasional sekali gus diadakan setiap tahun.

KPT menerusi kenyataannya memaklumkan, perkara itu selepas diputuskan oleh Jemaah Menteri agar festival ini dijadikan sebagai acara tahunan.

“Putrajaya FOI 2025 yang menjadi platform untuk menyemarakkan pemikiran baharu, daya cipta dan kreativiti dalam kalangan masyarakat kini menjadi gerakan nasional apabila Jemaah Menteri memutuskan agar festival ini dijadikan sebagai acara tahunan dan dimasukkan dalam kalendar nasional serta terus diadakan setiap tahun, ujarnya

Festival ini berjaya menarik pengunjung seramai 2.05 juta, merangkumi 550,000 pengunjung secara fizikal dan 1.55 juta secara maya, membuktikan minat tinggi masyarakat terhadap platform ilmu dan inovasi.

Beberapa sesi menarik termasuk Sidang MyIDEAS dengan 234 sesi perkongsian dan penglibatan 251 pemimpin, pakar bidang, akademia dan pemain industri, yang diiktiraf dalam Malaysia Book of Records sebagai Sidang Wacana Akademik Terbanyak dalam Satu Acara Idea dan Inovasi di Malaysia.

Selain itu, lebih 2,000 pempamer dari institusi pendidikan dan industri turut serta dalam MyIDEAS Connect, manakala 102 perjanjian kerjasama strategik dengan nilai pelaburan RM172 juta dimeterai sepanjang festival.

“Putrajaya FOI 2025 ini telah membuktikan komitmen KPT untuk menjadikan pendidikan tinggi sebagai teras pembangunan negara MADANI yang menyeimbangkan kemajuan ilmu, teknologi dan nilai kemanusiaan,” kata kementerian itu lagi.

KPT turut mengucapkan terima kasih kepada semua pemegang taruh dan rakan strategik yang memberikan sokongan kepada penganjuran festival ini, menegaskan usaha memperkukuh budaya kreativiti dan inovasi dalam pembangunan negara akan diteruskan.- KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI