GUA MUSANG – Seorang buruh ladang maut selepas motosikal yang dia tunggang terbabas sebelum bergesel dengan besi penghadang jalan di Kilometer 60 Jalan Gua Musang-Kuala Krai di sini semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 5.20 petang itu, mangsa, Mat Ruhaizie Mat Hussin, 35, yang menunggang motosikal jenis Yamaha Y15ZR meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah pada bahagian perut.
Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, siasatan awal mendapati, mangsa yang menunggang motosikal sedang dalam perjalanan dari arah Gua Musang menghala ke Kuala Krai.
Menurutnya, ketika sampai di lokasi kejadian, motosikal tersebut dipercayai hilang kawalan lalu bergesel dengan besi penghadang sebelum terjatuh di bahu kiri jalan.
“Kemalangan itu menyebabkan mangsa terjatuh di atas bahu kiri jalan dan mengalami kecederaan teruk pada bahagian perut.
“Mangsa disahkan meninggal dunia oleh petugas kesihatan yang tiba di lokasi kejadian dan mayatnya dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Gua Musang untuk proses bedah siasat,” katanya.
Choon Foo memberitahu, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – KOSMO! ONLINE














