fbpx
Vokalis XPDC, Ali tetap menggagahkan diri membuat penampilan di konsert XPDC Metalkestra 2025 yang berlangsung di Zepp Kuala Lumpur, semalam.

Ali XPDC gagahkan diri ke konsert XPDC Metalkestra demi peminat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Walau kesihatan tidak mengizinkan, vokalis legenda XPDC, Ali tetap menggagahkan diri membuat penampilan di konsert XPDC Metalkestra 2025 yang berlangsung di Zepp Kuala Lumpur, semalam.

Dalam keadaan sukar bertutur dan kelihatan semput, Ali atau nama sebenarnya Mohd Ali Ismail, 57, tetap hadir demi menghargai peminat yang tidak pernah jemu memberikan sokongan sejak tiga dekad lalu.

“Saya harap peminat-peminat XPDC teruskan menyokong XPDC dan muzik rock tempatan.

“Saya beginilah, Alhamdulillah, doakan saya sihat,” katanya kepada Kosmo! Online ketika ditemui di belakang pentas usai konsert.

Meskipun terpaksa menyanyi dalam keadaan duduk di atas kerusi, persembahan Ali tetap meninggalkan kesan mendalam buat lebih 2,500 penonton yang memenuhi ruang Zepp Kuala Lumpur malam itu.

Ali tampil bersama vokalis terkini XPDC, Mamu, ketika mempersembahkan medley dua lagu ikonik Hentian Ini dan Titian Perjalanan, sekali gus mengundang air mata para peminat yang menyaksikan detik penuh emosi itu.

Konsert anjuran Republic Mokhmah Records tersebut mempersembahkan sebanyak 28 lagu secara keseluruhan, menjadikan malam itu antara persembahan paling epik dalam sejarah XPDC.

Bagi Mamu, peluang berdiri sebaris dengan legenda seperti Ali dianggap satu penghormatan besar dan tanggungjawab yang cukup berat.

“Pertama sekali saya bersyukur kepada Allah, dan terima kasih kepada Abang Izo, Arif, Ayie dan juga Lola yang banyak memberi tunjuk ajar serta semangat kepada saya.

“Ini bukan satu perkara mudah. Lagu-lagu XPDC menuntut tenaga dan jiwa yang besar. Kejayaan konsert ini bukan hanya datang daripada band, tapi juga hasil kerja keras seluruh pasukan produksi,” luahnya,

Barisan samurai sejati XPDC iaitu Izo, Eddie, Arif, Lola dan Mamu berjaya menghidupkan semula aura zaman kegemilangan kumpulan itu, seolah-olah membawa penonton kembali ke era Konsert Raksasa XPDC Brutal di Stadium Negara dan Shah Alam sekitar tahun 1998.

Selain Ali, bekas vokalis Gad turut membuat penampilan khas dengan mendendangkan beberapa lagu popular XPDC, menambah lagi rasa nostalgia buat peminat lama.

Antara lagu yang dipersembahkan termasuk Tangis Darah, Talam Dua Muka, Nyanyuk, Kita Peng Yu, Selendang Merdeka, C.I.N.T.A, Semangat Yang Hilang serta For Whom The Bell Tolls.

Rata-rata peminat meluahkan rasa sebak melihat semangat luar biasa Ali yang tetap hadir walaupun sedang bertarung dengan kesihatan.

Bagi mereka, figura itu bukan hanya penyanyi, tetapi lambang perjuangan sebenar dunia rock tanah air. – KOSMO! ONLIN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN