KABUL – Kerajaan Taliban di Afghanistan menyatakan hari ini bahawa pusingan rundingan damai terbaharu dengan Pakistan di Turkiye gagal, serta menyalahkan pendekatan tidak bertanggungjawab dan tidak bekerjasama Islamabad.
“Semasa perbincangan, pihak Pakistan cuba mengalihkan semua tanggungjawab keselamatannya kepada Afghanistan.
“Mereka tidak menunjukkan kesediaan untuk bertanggungjawab sama ada terhadap keselamatan negara ini atau dirinya sendiri.
“Sikap tidak bertanggungjawab dan tidak bekerjasama delegasi Pakistan tidak membuahkan sebarang hasil,” tulis jurucakap kerajaan Taliban, Zabihullah Mujahid di media sosial.
Islamabad tidak segera mengulas mengenai perkara itu.
Namun, Menteri Penerangan Pakistan, Attaullah Tarar memberi bayangan sehari sebelumnya bahawa rundingan itu gagal, dengan mengatakan bahawa tanggungjawab terletak pada Afghanistan untuk memenuhi janji memerangi keganasan.
“Pakistan akan terus melaksanakan semua pilihan yang diperlukan untuk menjaga keselamatan rakyat dan kedaulatannya,” kata Attaullah.
Wakil kedua-dua negara bertemu di Istanbul Khamis lalu untuk cuba memuktamadkan gencatan senjata yang dipersetujui pada 19 Oktober di Qatar, susulan pertempuran paling dahsyat antara dua negara jiran itu sejak Taliban kembali berkuasa di Afghanistan pada 2021. – AFP














