fbpx
KHAIRUL ANAM bersama isteri dan bapanya di kios Coffee Classic di Lumut, baru-baru ini.

Proper A MAIPk bantu ekonomi asnaf

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

LUMUT – “Saya bersyukur mene­rima bantuan yang diberikan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Pe­rak (MAIPk) dan rezeki yang diperoleh telah digunakan untuk membantu komuniti setempat.”

Itu luahan rasa Khairul Anam Muhammad Azizi, 37, seorang peserta Pro­per A iaitu program pemerkasaan ekonomi asnaf oleh MAIPk yang kini bergelar usahawan minuman berasaskan kopi.

Dia yang kini menetap dan berniaga di Kg. Permatang, Teluk Rubiah di Seri Manjung di sini berkata, program pembangunan usahawan itu telah berjaya membuka matanya berhubung dunia perniagaan.

“Walaupun saya telah menceburkan diri dalam bidang perniagaan sejak menamatkan alam persekolahan pada 2005, ternyata masih banyak lagi perkara yang boleh dipelajari berkaitan industri tersebut.

“Salah satu daripadanya adalah berhubung aspek pengurusan perniagaan, selain sesi bimbingan dan motivasi daripada mereka yang pakar dalam bidang berkenaan,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.

Khairul Anam yang merupakan bapa kepada empat orang anak itu berkata, MAIPk menerusi Proper A membantunya memulakan perniagaan menerusi francais Coffee Classic Kulim sejak Ogos lalu, dengan kos ditanggung pihak berkenaan sekitar RM20,000.

Katanya, menerusi kios perniagaan yang dibuka di lokasi tersebut, dia berjaya meraih keuntungan sekurang-kurangnya RM1,000 sebulan.

Ini kerana katanya, lokasi ber­kenaan merupakan laluan utama bagi penduduk sekitar, termasuklah mereka yang bekerja di syarikat perlombongan Vale yang beroperasi di Teluk Rubiah.

“Bukan itu sahaja, kami turut membuka khemah vendor di se­belah kios kopi ini bagi membolehkan penduduk sekitar, terutamanya rakan-rakan yang mahu menambah pendapatan mele­takkan makanan seperti laksa dan burger di sana.

“Saya juga memperoleh sedikit pendapatan daripada khemah vendor berkenaan,” katanya yang dibantu oleh isterinya, Yuzila Yusoff, 44, serta bapanya, Muhammad Azizi Zakariah, 62.

Selain itu, Khairul Anam berkata, program Proper A wajar diberikan perhatian oleh golongan kurang berkeupayaan kerana ia berpotensi mengubah nasib mereka yang mahu keluar daripada kelompok kemiskinan.

Program Proper A MAIPk menepati flagship pelan Perak Sejahtera 2030 cetusan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad iaitu Program Pembolehdayaan Modal Insan & Pembelajaran Sepanjang Hayat.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN