PETALING JAYA – Berkat doa dan kesabaran selama tujuh tahun, seorang pempengaruh, Muhammad Mikhael Sathayah bersyukur apabila ibunya yang berusia 75 tahun memeluk Islam dalam satu majlis ringkas semalam.
Muhammad Mikhael atau lebih dikenali sebagai ‘Muka Gangster’ berkongsi berita gembira itu menerusi video di akaun TikToknya yang memaparkan detik M. Muniamah melafaz dua kalimah syahadah dengan dibimbing seorang ustaz.
Situasi penuh makna itu turut disaksikan oleh Muhammad Mikhael serta isteri. “Hebat kuasa Allah. Terima kasih Allah. Ya Allah…Ya Allah…Ya Allah, hidayah milik Allah. Alhamdulillah, akhinya ‘mak titew’. Sesungguhnya hidayah itu milik Allah, saat ini rasa macam mimpi. Terima kasih Allah,” katanya.
Selesai proses itu, Muniamah memberikan ciuman di pipi anaknya dan memeluk menantunya sebagai tanda syukur. Video tersebut meraih lebih dua juta tontonan setakat pagi ini.
Pelbagai reaksi diberikan orang ramai di ruangan komen dan rata-rata mereka mengucapkan tahniah kepada wanita warga emas tersebut yang kini bergelar saudara Islam baharu.
“Ya Allah masya-Allah, menitik air mata ini. Akhirnya Allah bagi hidayah untuk ‘mak titew’ masuk Islam,” kata Hiyjeraa.
“Nak tengok ‘mak titew’ pakai tudung. Abang jangan lupa ‘tag’ saya. Anaklah segalanya buat mak, sebab tu maknya sanggup masuk Islam juga, semoga mak sihat selalu dan murah rezeki,” kata Isyika.
“Hebat brader (abang) ni, dulu dia pernah cakap walaupun dia masuk Islam dia tak akan tinggalkan mak dia. Akhirnya dia berjaya tarik (mak) sekali (masuk Islam),” kata @Hemhe.
Sebelum ini, Muhammad Mikhael pernah menjadi perhatian ramai selepas dia berkongsi kisah penghijrahannya menerusi perkongsian video di media sosial.
Katanya, sebelum ini dia mengejar dunia, namun merasakan hatinya makin kosong dan gelap jiwa.
“Mencari jiwa yang hilang, kenapa aku ke sini. Sampai dapat jawapan, saya bagi tahu mak nak masuk Islam. Mak terdiam, terkejut selepas itu mak senyum dan beri kebenaran,” katanya. – KOSMO! ONLINE
@mukagangster Hebat kuasa Allah . Terima kasih Allah. Ya Allah Ya Allah Ya Allah. Hidayah milik Allah. @Mak Titew #mukagangster #ipohperak #fyp #maktitew #wifetitew ♬ Sad Lonely Piano – ALEKSANDAR KIPROV














