SHAH ALAM – Seorang daripada dua bekas pegawai bank menangis ketika merayu sebelum masing-masing dijatuhi hukuman denda oleh Mahkamah Sesyen hari ini, atas pertuduhan pilihan gagal melaporkan rasuah penyediaan dokumen pinjaman pembiayaan.
Hakim Datuk Mohd. Nasir Nordin menjatuhkan hukuman denda RM25,000 terhadap Mohd. Haikal Jamaludin, 41, manakala Amira Nabiela Mohamad Jamaruddin, 28, didenda RM6,000 selepas kedua-duanya mengaku bersalah atas pertuduhan pilihan yang dibacakan secara berasingan.
Mahkamah turut memerintahkan Mohd. Haikal dipenjara 30 bulan dan Amira Nabiela selama enam bulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan.
“Saya nasihatkan kepada kamu agar tidak melakukan kesalahan lagi selain bertaubat. Perbaiki diri kamu,” tegas Mohd. Nasir.
Berdasarkan lima pertuduhan pilihan, Mohd. Haikal didakwa telah menerima suapan wang tunai keseluruhan 15,920 yang dimasukkan dalam akaun bank miliknya melalui seorang lelaki bagi sebuah firma guaman.
Ini sebagai upah mencadangkan firma guaman itu bagi penyediaan lima dokumen penjanjian pembiayaan perumahan dianggarkan RM2.46 juta yang kesalahan itu dilakukan di buah cawangan bank sama sekitar Petaling Jaya antara 14 April 2021 hingga 13 Januari 2022.
Amira Nabiela dituduh satu pertuduhan menerima suapan wang tunai RM3, 201 yang juga dimasukkan dalam akaun banknya bagi mencadangkan firma guaman lain bagi penyediaan dua pinjaman pembiayaan perumahan keseluruhan RM924, 387.20.
Kesalahan itu dilakukan di cawangan bank di Shah Alam pada 23 November 2021.
Justeru, kedua-duanya melakukan kesalahan mengikut subseksyen 25 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum dibawah subseksyen 25 (2) akta sama.
Sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara sehingga 10 tahun atau kedua-duanya sekali.
Pada prosiding rayuan, Mohd. Haikal yang tidak diwakili peguam memaklumkan mempunyai empat anak dan menjaga ibunya yang baru selesai menjalani pembedahan kanser tahap empat.
“Saya telah diberhentikan kerja pada November 2024 disebabkan cuti tanpa pengetahuan majikan susulan mempunyai penyakit darah tinggi, gout. Saya bertaubat dan hanya menyediakan RM5,000 sahaja,” katanya.
Amira Nabiela turut merayu dalam keadaan menangis sambil memaklumkan sudah tidak bekerja dan mempunyai seorang anak berusia setahun selain perlu menanggung komitmen bulanan sebanyak RM2,300.
“Saya juga menanggung perbelanjaan ubat-ubatan ibu bapa dan hanya bawa RM8,000 hari ini,” rayunya yang tidak diwakili peguam itu
Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Nurul Izzati Sapifee dan Muhamad Taufik Awaludin memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran.
Dalam pada itu, seorang pegawai bank, Koh Wei Yeong, 37, mengaku tidak bersalah di mahkamah sama atas dua pertuduhan termasuk pilihan berkaitan rasuah sebanyak RM1,800 yang dilakukan di cawangan bank di Kelana Jaya pada 13 Mei 2020.
Pendakwaan dibuat Timbalan Pendakwa Raya SPRM Selvam T Armugom dan Peguam Paramjit Singh mewakili tertuduh
yang dibenarkan jaminan RM8,000 dan sebutan semula 16 Disember ini.
Untuk rekod, ketiga-tiga mereka adalah antara 49 individu membabitkan pegawai serta bekas pegawai beberapa institusi perbankan yang ditahan menerusi Op Tiger dijalankan SPRM. – KOSMO! ONLINE














