PETALING JAYA – Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mengambil langkah tegas melindungi atlet muda dengan melarang penyertaan remaja bawah 15 tahun dalam mana-mana pertandingan sukan tempur full-contact seperti tinju, muay thai, kickboxing dan mixed martial arts (MMA) yang tidak menggunakan pelindung keselamatan.
Menterinya, Hannah Yeoh berkata, larangan itu dibuat selepas meneliti peningkatan penganjuran acara sukan tempur melibatkan pempengaruh dan selebriti yang dilihat semakin popular, tetapi berisiko tinggi terhadap keselamatan atlet terutama kanak-kanak.
“KBS tidak akan berkompromi dengan keselamatan dan integriti atlet, walaupun acara ini mendapat sambutan dan mampu menjana impak ekonomi.
“Hanya kejohanan rasmi anjuran Persatuan Sukan Kebangsaan atau Persatuan Sukan Negeri berdaftar di bawah Akta Pembangunan Sukan 1997 dibenarkan menampilkan atlet bawah umur,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Selain itu, KBS akan menggubal garis panduan khusus untuk sukan tempur dan mengarahkan Pesuruhjaya Sukan supaya menilai semula mekanisme kawal selia agar setiap acara ‘fight event’ dijalankan dengan lebih selamat dan profesional.
KBS melalui Pejabat Pesuruhjaya Sukan (PJS) juga akan menyelia pengumpulan data merentas disiplin sukan tempur, termasuk statistik kecederaan dan insiden kesihatan bagi membentuk dasar keselamatan yang lebih kukuh.
Langkah ini, kata Hannah, menunjukkan komitmen kerajaan memastikan sukan tempur tidak dijadikan sekadar hiburan, sebaliknya dikawal secara beretika dan berlandaskan undang-undang demi melindungi kebajikan atlet muda negara.- KOSMO! ONLINE.














