ISKANDAR PUTERI – Identiti mangsa yang maut dalam insiden kebakaran kontena di atas kapal MSC Kyparissia terbakar di Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) di sini, tengah hari sudah dikenal pasti.
Mangsa yang terlibat ialah K. Sugumaran, 59, yang merupakan warga Malaysia bekerja sebagai Juruukur Kapal; Darren Holling, 49, warga British bekerja sebagai Pakar Kebakaran dan Diaday Jason Hernia, 38, merupakan warga Filipina bekerja sebagai kru kapal.
Terdahulu, Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Iskandar Puteri, Mohamad Anuar Mohamad Amdzah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 12.23 tengah hari tadi.
“Pasukan BBP Iskandar Puteri tiba di lokasi pada pukul 12.40 tengah hari. Siasatan mendapati kebakaran berlaku ketika kerja-kerja pemunggahan kontena dijalankan di bahagian bawah geladak (under hatch) Blok 5.
“Kejadian melibatkan enam mangsa. Tiga maut, manakala tiga lagi cedera iaitu lelaki Malaysia (26) dan dua lelaki Filipina (40-an).
“Mangsa yang cedera dihantar ke sebuah hospital swasta oleh ambulan PTP,” katanya dalam kenyataan di sini.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner M. Kumarasan berkata, ketiga-tiga mangsa yang maut dihantar ke Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru untuk bedah siasat. – KOSMO! ONLINE














