SIK – “Allah pinjamkan sekejap anak kepada saya, jadi saya kena pulangkan balik kepada-Nya tepat pada harinya.”
Demikian kata Afifah Shaari, 46, ibu kepada Allahyarham Shamsul Ameen Shamsul Izrin, 18, yang maut dalam kemalangan dengan lori di Kampung Kuala, di sini pada pukul 2 petang semalam.
Bekas pelajar Maktab Rendah Sains Mara Baling itu maut di tempat kejadian akibat parah di kepala. Menurut Afifah, arwah pulang ke rumahnya di Alor Setar tiga hari lalu kerana mahu belajar dan mengambil lesen memandu.
“Ketika dia sampai, kami tiada di rumah dan hanya berjumpa ketika makan malam di sebuah restoran di Alor Setar. Ameen datang, salam kami sebab lama tak jumpa,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Daerah Sik.
Katanya, keesokan paginya, anak kedua daripada sembilan beradik itu menunggang motosikal ke Sik dan bermalam di rumah saudaranya di Kampung Telaga Batu.
“Arwah berhasrat membawa motosikalnya ke kolej bagi memudahkan pergerakan. Tak sangka kejadian buruk menimpanya sehingga maut dalam kemalangan. Anak-anak ini hanya pinjaman dan amanah Allah.
“Saya berusaha menjaganya dengan pertolongan Allah juga. Apa yang saya usahakan selama ini untuknya, saya reda. Ameen anak yang baik, banyak bantu jaga adik-adik, mudahkan saya dalam banyak urusan, suka masak dan kemas rumah.
“Dia paling sibuk kalau kami kena pindah ikut bapanya,” katanya yang memberitahu suaminya, Shamsul Izrin bekerja sebagai pegawai di Jabatan Kebajikan Masyarakat.
Sementara itu, sepupu arwah, Abdullah Amar Abdul Jamal, 31, berkata, Shamsul Ameen baru selesai kelas memandu yang diajarnya pada pukul 11 pagi semalam sebelum mengajak remaja itu pergi makan dan pulang ke rumah di Kampung Telaga Batu.
“Selepas makan, dia pulang ke rumah saya dengan motosikal. Saya hubungi isteri tanya sama ada Ameen sudah sampai, katanya belum. Pukul 2 petang, ibunya hubungi saya beritahu Ameen terlibat dalam kemalangan. Saya segera ke tempat kejadian, namun Ameen telah meninggal dunia,” katanya.
Pemangku Ketua Polis Daerah Sik, Deputi Superintendan Safuan Md. Noor berkata, motosikal Honda C100 yang ditunggang mangsa dipercayai hilang kawalan dan memasuki laluan lori sebelum berlanggar sehingga menyebabkan remaja itu tercampak ke dalam longkang di kiri jalan.- KOSMO! ONLINE














