LONDON – Sekumpulan saintis mendedahkan ramalan mengenai masa depan manusia dengan memberi amaran bahawa Bumi akan ‘ditelan’ oleh Matahari yang mampu mematikan semua kehidupan, lapor portal berita MailOnline.
Menurut dakwaan mereka, dalam kira-kira lima bilion tahun akan datang, Matahari akan membakar sisa bahan api hidrogen terakhirnya dan mula mengembang menjadi gergasi merah yang amat besar.
Apabila ia berlaku, ahli-ahli astronomi dari Universiti Kolej London dan Universiti Warwick di Britain meramalkan bahawa Bumi akan ditelan oleh Matahari atau hancur berkecai.
Menurut kumpulan saintis itu, kemusnahan manusia berkemungkinan besar akan disebabkan oleh kesan graviti kuat yang dikenali sebagai daya pasang surut.
Penulis utama kajian itu, Dr. Edward Bryant berkata: “Sama seperti Bulan menarik lautan di Bumi untuk menghasilkan pasang surut, planet juga menarik bintang.
“Apabila bintang itu berkembang dan mengembang, interaksi ini menjadi semakin kuat,” katanya.
Penemuan itu diterbitkan dalam jurnal Monthly Notices of the Royal Astronomical Society, yang dibuat melalui pemerhatian terhadap hampir setengah juta bintang. – AGENSI














