PETALING JAYA – Masa depan Rodrigo Holgado bersama America de Cali terus menjadi perdebatan apabila kelab Colombia itu dilaporkan dalam proses untuk menamatkan kontrak pemain itu dalam tempoh terdekat ini.
Perkara ini dikongsikan oleh wartawan sukan Colombia, Pipe Sierra menerusi platform X, semalam dan ia hadir selepas Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) buat keputusan menolak rayuan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).
“Kelab America, melalui peguam mereka kini sedang memulakan proses untuk menamatkan kontrak Rodrigo Holgado susulan keputusan Jawatankuasa Rayuan FIFA.
“Pada masa sama, FAM sedang bersiap untuk membawa kes ini ke peringkat seterusnya iaitu Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS),” katanya.
FIFA sebelum itu menolak rayuan FAM dan mengekalkan hukuman yang ditetapkan oleh Jawatankuasa Disiplin dimana tujuh pemain warisan Harimau Malaya didenda CHF2,000 (sekitar RM10,800) setiap seorang dan digantung 12 bulan.
Selain Holgado, enam lagi pemain adalah Gabriel Felipe Arrocha, Facundo Tomas Garces, Imanol Javier Machuca, Joao Vitor Brandao Figueiredo, Jon Irazabal Iraurgui dan Hector Alejandro Hevel Serrano.
Sebelum ini, Holgado juga dilaporkan diberi cuti tanpa gaji untuk ke Malaysia bagi mengurus sendiri isu hukuman yang dikenakan oleh FIFA. – KOSMO! ONLINE














