fbpx
Alyah (kiri) antara selebriti tempatan yang mengakui menjalani pembedahan bariatrik demi kebaikan kesihatan.

‘Kalau buat bariatrik, jangan tipu cakap diet, nak jual produk’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PEMBEDAHAN bariatrik atau ‘potong perut’ semakin menjadi pilihan sebagai kaedah klinikal untuk mengatasi masalah berat badan berlebihan atau obesiti.

Pembedahan bariatrik bukan sekadar untuk kecantikan, tetapi membantu mengurangkan berat badan dan risiko penyakit seperti kencing manis serta darah tinggi.

Bagaimanapun, apa yang membimbangkan apabila ada pihak mengeluarkan produk menguruskan badan dengan  cara menipu untuk melariskan produk mereka.

Penyanyi Datin Alyah yang turut menjalani pembedahan bariatrik tiga tahun lalu, berpesan agar sentiasa jujur dalam setiap apa yang dilakukan. 

“Kalau buat bariatrik, jangan tipu. Cakap saja buat. Ada yang kurus sebab jalani pembedahan bariatrik, tetapi dakwa dirinya diet dan amalkan suplemen. Tak baik menipu macam itu,” katanya yang tidak menyentuh mana-mana pihak. 

Isteri kepada maestro muzik, Datuk Ramli MS, sebelum ini pernah menjalani prosedur itu bagi merawat masalah gastrik serius yang dihadapinya sejak sekian lama sehingga menyebabkan dia mengalami penambahan berat badan sebanyak 18 kilogram (kg).

“Pembedahan itu bukan sahaja mengatasi masalah gastrik, tetapi juga mengurangkan risiko saya mengalami masalah kesihatan lain seperti kencing manis, darah tinggi atau kolestrol pada masa akan datang. 

“Kalau nak buat bariatrik, kena minta nasihat  dua atau tiga doktor. Kadang-kadang mereka mempunyai pendapat berlainan, kemudian baru kita fikir apa yang terbaik. 

“Susah nak cakap. Kadang-kadang semua ini nasib. Ada yang buat bariatrik dan patuh arahan doktor, alhamdulillah tiada komplikasi berlaku. 

“Dalam masa yang sama, terdapat juga yang sangat berdisiplin ikut arahan doktor, tapi tetap mengalami komplikasi. Ia bergantung kepada nasib juga sebenarnya,” katanya. 

Jangan tipu – Dr. Afif

Sementara itu, menurut doktor perubatan, Dr. Afif Mohd. Ridzwan, beliau sering dikunjungi pelanggan yang mahu mendapatkan nasihat tentang pembedahan bariatrik. 

“Saya menerima ramai pelanggan klinik yang bertanyakan tentang bariatrik. Sebagai doktor, saya sampaikan maklumat yang betul dan mengakui kaedah ini amat bagus dalam penjagaan kesihatan. 

“Cuma nasihat saya, apabila ada yang nak kurus sebab nak jual produk pelangsingan, saya tidak setuju dengan tindakannya. 

“Nak buat bariatrik untuk kesihatan, itu dah bagus. Tapi apabila ada niat mahu jual produk turunkan berat badan selepas dirinya kurus, itu tidak patut. 

“Bagi saya, jangan tipu orang lain mengatakan dirinya kurus sebab ambil mana-mana suplemen, sedangkan dia buat bariatrik,” katanya. 

Afif yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Rawatan Al Farhain itu juga menegaskan, bariatrik perlu dilakukan atas alasan yang munasabah. 

“Selalunya orang yang layak untuk jalani bariatrik adalah mereka yang mempunyai BMI (Indeks Jisim Tubuh) 40 ke atas. 

“Ada juga yang mempunyai BMI 35 hingga 40 tetapi menghidap kencing manis, darah tinggi yang teruk, obesiti dan Obstructive Sleep Apnea (OSA), mereka boleh jalani bariatrik. 

“Selain itu, bagi mereka yang mempunyai BMI 35 ke bawah, namun tak boleh kawal nafsu makan sedangkan nak kurus, mereka juga layak untuk buat bariatrik. 

“Tak kisahlah apa kategori sekalipun, mereka perlukan nasihat dan kebenaran dari pasukan bedah bariatrik. 

“Golongan yang tak layak untuk bariatrik adalah mereka yang gemuk tetapi mempunyai masalah mental, ketagihan minuman alkohol, ada penyakit kritikal atau terlibat dalam penyalahgunaan dadah. 

“Bukan itu sahaja, mereka yang berminat untuk buat bariatrik tetapi sedar diri tak boleh ikut saranan doktor, baik lupakan sahaja hasrat itu,” tambahnya lagi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN