BANDAR GAZA – Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyatakan bahawa ia telah mengagihkan bungkusan makanan kepada sejuta orang di Gaza sejak gencatan senjata berkuat kuasa antara Hamas dengan Israel pada 10 Oktober lalu.
Bagaimanapun, agensinya, Program Makanan Dunia (WFP) menekankan bahawa semua titik lintasan ke Semenanjung Gaza harus dibuka segera untuk membanjiri wilayah Palestin yang dilanda kebuluran itu dengan bantuan.
“Selama tiga setengah minggu selepas gencatan senjata, kami telah mengagihkan bungkusan makanan kepada kira-kira sejuta orang di seluruh Gaza,” kata jurucakap WFP di Asia Barat, Abeer Etefa.
“Itu adalah sebahagian daripada operasi meluas untuk mengatasi kelaparan di Gaza,” katanya kepada pemberita di Geneva, Switzerland semasa berucap dari Mesir.
WFP menyasarkan untuk mencapai 1.6 juta orang di wilayah itu, yang menyediakan makanan mencukupi untuk sebuah keluarga selama 10 hari.
“Bagaimanapun, untuk menjalankan operasi pada tahap yang diperlukan, kita benar-benar memerlukan lebih banyak lintasan sempadan dibuka dan lebih banyak akses ke jalan utama di dalam Gaza,” kata Etefa.
Tambahnya, WFP meningkatkan operasi di Gaza dan telah membuka 44 daripada 145 pusat pengedaran makanan yang diharapkan dapat berjalan lancar.
Dianggarkan 700,000 orang kini menerima roti segar setiap hari yang dibekalkan melalui 17 kedai roti disokong WFP. Sembilan daripadanya terletak di selatan dan tengah Gaza, manakala lapan di utara.
Agensi itu berharap dapat menyediakan 25 buah kedai roti yang beroperasi di Gaza. – AFP














