PADAWAN – Seorang lelaki warga emas ditemukan mati lemas selepas dilaporkan hilang ketika memasang jaring ikan di Sungai Temenggong, Matang.
Ketua Polis Daerah Padawan Superintendan Mohd Irwan Hafiz Md Radzi berkata mayat mangsa berusia 61 tahun itu dijumpai kira-kira pukul 9 malam, semalam.
“Mayat mangsa dijumpai pada jarak kira-kira 5 meter dari jaring yang dipasangnya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Umum Sarawak untuk tindakan lanjut dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
Sementara itu, jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata pihaknya menerima laporan mengenai kehilangan mangsa kira-kira pukul 6.45 petang semalam dan segera menggerakkan pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Petra Jaya ke lokasi.
Bagaimanapun, katanya pencarian mangsa tidak dapat dijalankan memandangkan keadaaan hari semakin gelap.
Tambahnya, mayat mangsa kemudian dijumpai oleh orang kampung yang sedang memancing tidak jauh dari bot mangsa. – KOSMO!ONLINE














