fbpx
Gambar hiasan.

80 pelajar gagal ambil UPKK disaran jadi calon tumpang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Jabatan Kemajuan Islam (Jakim) mendapati 80 murid di Saujana Putra, Puchong tidak dapat menduduki Ujian Penilaian al-Quran dan Fardu Ain (UPKK) 2025 kerana tidak berdaftar dalam sistem rasmi pendaftaran calon, Sistem Maklumat Pendidikan Islam.

Jabatan itu turut mengesahkan Sekolah Rendah Islam al-Afsari belum berdaftar di bawah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan beroperasi tanpa kelulusan pihak berkuasa tempatan (PBT).

Katanya, surat rayuan daripada pihak sekolah diterima pada 15 Oktober lalu bagi memohon pertimbangan supaya murid-murid berkenaan dibenarkan menduduki peperiksaan, namun tidak dapat dilaksanakan.

“Sekolah itu tidak memenuhi kriteria pendaftaran sekolah agama Islam swasta di Selangor sebagaimana diperuntukkan di bawah Enakmen Kawalan Sekolah-Sekolah Agama Islam Negeri Selangor 1988,” katanya dalam kenyataan di sini.

Susulan itu, Jakim dan JAIS mengadakan pertemuan dengan pihak sekolah pada Isnin lalu bagi menjelaskan keperluan pendaftaran dan prosedur UPKK yang dikawal ketat mengikut prosedur operasi standard peperiksaan peringkat kebangsaan.

“Ia perlu dilaksanakan seperti ditetapkan oleh Ketua Pegawai Keselamatan Kerajaan Malaysia dan tertakluk di bawah Akta Rahsia Rasmi 1942 bagi menjamin kerahsiaan dan integriti peperiksaan,” katanya.

Jelasnya, perakuan pendaftaran hanya boleh diberikan kepada pihak sekolah jika sokongan tiga agensi berkaitan dipenuhi berdasarkan Garis Panduan Pengurusan Am (Pendaftaran dan Penubuhan) dan tertakluk kepada Enakmen Pengawalan Sekolah Agama Islam 1988 (Pindaan 2001).

“Justeru, pihak sekolah disarankan supaya mendapatkan segera kelulusan daripada ketiga-tiga agensi sokongan berkenaan kerana operasi tanpa pendaftaran adalah tidak dibenarkan.

“Jakim dan JAIS turut menasihatkan pihak sekolah untuk mempertimbangkan langkah memindahkan murid terlibat ke sekolah berdaftar di samping mendaftarkan mereka sebagai calon menumpang bagi tujuan UPKK,” katanya.

Jakim turut meminta pihak sekolah meneliti semula semua keperluan dan tatacara pendaftaran agar kejadian sama tidak berulang. Pendaftaran rasmi bukan sahaja bagi memastikan kelancaran urusan, tetapi menjamin kualiti, kebajikan murid dan pengiktirafan sah terhadap sijil dan keputusan peperiksaan.

“Jakim turut menyeru ibu bapa agar lebih peka dan proaktif dalam memastikan sekolah tempat anak-anak menimba ilmu berdaftar secara rasmi dengan pihak berautoriti agama negeri.

“Dalam masa yang sama, Jakim sedia memberikan panduan dan khidmat nasihat kepada pihak sekolah bagi memastikan semua institusi pendidikan Islam swasta dapat beroperasi mengikut saluran sah dan berdaftar dengan pihak berkuasa agama negeri,” tambah kenyataan sama.

Jakim turut menyeru kepada orang ramai supaya menyemak kesahihan maklumat terlebih dahulu sebelum dikongsi agar tidak timbul salah faham yang boleh menjejaskan imej institusi agama. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI