PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) perlu fikir sedalamnya jika mahu mengheret kes hukuman yang dikenakan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) ke Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) dalam masa terdekat.
Pandangan itu disuarakan oleh peguam sukan dan komersial, Nik Erman Nik Roseli yang berharap FAM selaku badan induk mempunyai hujah yang kukuh berdasarkan ‘Motivated Decision’ daripada Jawatankuasa Rayuan.
“Apabila memperolehi ‘Motivated Decision’ (keputusan bertulis), alasan rayuan bergantung kepada kesalahan fakta atau kesalahan undang-undang. Peluang FAM untuk berjaya di peringkat CAS bergantung kepada motivated decision.
“Objektif merayu juga penting, adakah FAM mengaku kesilapan dan hanya ingin mengurangkan hukuman atau FAM tidak mengaku silap dan ingin mengenepikan hukukan.
“Jika diteliti pada peringkat pertama (jawatankuasa tatatertib), pendirian diambil adalah FAM tiada pengetahuan dan niat dan bukan menidakkan kesilapan.
“Pendirian sama mungkin diambil juga pada peringkat rayuan oleh peguam FAM. Pada pendapat saya, jika hanya ingin mengurangkan hukuman, mungkin tidak berbaloi untuk membuat rayuan ke CAS,” katanya kepada Kosmo!
Sementara itu, Nik Erman juga menyifatkan kos perbelanjaan yang tinggi bakal menambah beban buat FAM untuk mengheret kes ke CAS termasuk bayaran peguam luar yang boleh mencecah beratus ribu ringgit.
Pada September lepas, arena bola sepak negara digemparkan susulan hukuman FIFA telah menggantung tujuh pemain warisan Malaysia selepas didapati melakukan pemalsuan dokumen selain memberi denda kepada FAM sebanyak 350,000 franc Swiss (RM1.8 juta).
Tujuh pemain warisan Harimau Malaya digantung FIFA seperti Imanol Machuca, Facundo Garces, Hector Hevel, Gabriel Palmero, Imanol Machuca, Joao Figueiredo dan Jon Irazabal.
FAM dan tujuh pemain warisan telah membuat rayuan tetapi hukuman telah dikekalkan oleh FIFA berdasarkan keputusan rasmi yang dikeluarkan malam tadi.
Badan induk bola sepak negara itu diberikan masa 21 hari selepas menerima Motivated Decision untuk menghantar kes ke CAS. – KOSMO! ONLINE
								
								
											












