fbpx
Jasni menunjukkan air sungai yang bertukar putih selepas kejadian kolam cucian pasir pecah di Ulu Sungai Johor, Kota Tinggi semalam.

Toman, lampam semua mati

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KOTA TINGGI – Kehidupan 150 nelayan semakin terjejas apabila kualiti air di Ulu Sungai Johor di sini, masih berwarna putih susu akibat kejadian kolam cucian pasir pecah sejak tiga hari lalu yang menyebabkan banyak hidupan mati selain mengambil masa terlalu lama untuk pulih.

Pengerusi Jaringan Perikanan Masyarakat Orang Asli Parlimen Tenggara, Jasni Amat berkata, pemulihan sungai dijangka mengambil masa enam bulan sebelum air benar-benar bersih.

Katanya, kejadian itu me­ngakibatkan banyak ikan mati termasuk lampam, baung, patin, udang galah dan toman.

“Air masih putih walaupun telah tiga hari berlaku pencemaran. Keadaan itu mengakibatkan 150 nelayan yang bergantung hidup di sepanjang Sungai Johor termasuk dari Kampung Rantau Panjang, Panti dan lain-lain terjejas.

“Hendak dapat RM100 sehari pun susah dan nelayan terpaksa mencari kerja sambilan seperti di ladang bagi menampung per­belanjaan harian,” katanya ketika ditemui di Kampung Orang Asli Sayong Pinang di sini semalam.

Menurut Jasni, sejak beberapa siri pencemaran termasuk insiden ammonia sebelum ini, nelayan tidak pernah menerima sebarang pampasan.

Tambahnya, mereka sudah tidak dapat menanggung pende­ritaan itu lagi dan merayu bantuan kerajaan negeri untuk memberi pampasan kepada nelayan yang terputus rezeki.

“Kalau boleh, kami minta kerajaan negeri arahkan syarikat-syarikat terlibat, terutama pelombong pasir supaya me­nyalurkan tanggungjawab sosial korporat dengan melepaskan benih ikan bagi memulihkan sungai.

Mereka yang mencemar, mereka juga yang patut bertanggungjawab,” katanya.

Ujar Jasni, kegiatan perlombongan pasir di kawasan ber­kenaan telah beroperasi lebih dua tahun dan mempunyai enam kolam takungan air, namun salah satu kolam itu pecah hingga me­ngakibatkan pencemaran teruk di aliran sungai.

“Bila pasang rawai atau jaring, semuanya penuh lumpur, ikan pun tak dapat. Pencemaran yang berlaku ini turut menyebabkan kawasan pesisir menjadi berselut apabila air surut, sekali gus menyukarkan aktiviti menangkap ikan dijalankan seperti biasa,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN