JEJAKA bernama Muhammad Hafiz Zuhdi Suhaimi boleh dikatakan figura yang tidak asing di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA).
Baharu sahaja menginjak usia 22, dia yang mesra disapa Hafiz telah membuktikan bahawa kepimpinan bukan hanya tentang memegang jawatan tetapi memberikan impak yang nyata kepada organisasi dan masyarakat.
Hafiz bukan sahaja cemerlang dalam akademik tetapi juga sangat aktif dalam pelbagai persatuan dan organisasi termasuk Kadet Kor Siswa Siswi Koreksional (SISKOR) UniSZA, Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), Perwakilan Pelajar Badan Beruniform (PPBU) dan Persatuan Mahasiswa Fakulti Perniagaan dan Pengurusan (PMFPP).
Terbaharu, Hafiz telah menerima Anugerah Siskor Terbaik Keseluruhan sebagai penghargaan atas dedikasi dan komitmennya dalam Kor SISKOR.
“Alhamdulillah, saya sangat bersyukur atas rezeki ini.
“Anugerah ini bukan hanya usaha saya tetapi juga hasil sokongan ibu bapa, jurulatih, rakan-rakan seperjuangan dan semua yang telah memberikan semangat sepanjang perjalanan saya dalam SISKOR,” ujarnya kepada K-Kampus.
Hafiz juga pernah memegang beberapa jawatan penting dalam organisasi tersebut antaranya Setiausaha 1, Setiausaha 2 (Induk), Timbalan Pengarah III (Profesionalisme & Pengurusan) dan dianugerahkan Tokoh Sahsiah Terpuji 2024 serta Tokoh Penglibatan Aktif 2025.

baru-baru ini.
Sebagai Inspektor Penjara SISKOR, Hafiz menunjukkan bahawa kepimpinan yang efektif memerlukan komitmen yang tinggi lebih-lebih lagi dalam menghadapi cabaran besar seperti masalah kesihatan akibat kemalangan yang menghalangnya daripada menjalani latihan persiapan.
Namun, dengan bantuan Maha Esa dan sokongan orang-orang tersayang, Hafiz berjaya mengatasi kesukaran tersebut dan meneruskan perjuangan hingga tamat latihan.
Seperti mana-mana organisasi, SISKOR juga tidak terlepas daripada pelbagai cabaran tersendiri. Hafiz berkata, sebagai seorang pemimpin, kita harus bersikap terbuka dan toleransi serta menghormati pendapat orang lain.
“Setiap keputusan perlu dibuat dengan rasional, tanpa pilih kasih demi kebaikan organisasi.
“Salah satu cabaran terbesar yang dihadapi adalah menyatukan semula anggota Kor SISKOR yang mengalami masalah kehadiran dalam latihan,” katanya.
Selain dalam SISKOR, Hafiz juga aktif dalam beberapa organisasi lain termasuk MPP, PPBU PMFPP. Pengalaman-pengalaman ini menurutnya banyak mengajar dia tentang kepimpinan yang berorientasikan profesionalisme, komitmen dan kerja berpasukan.
“Dalam setiap organisasi, saya belajar bahawa kejayaan tidak hanya terletak pada hasil akhir tetapi juga dalam usaha yang dicurahkan oleh setiap individu.
“Kepimpinan bukan hanya tentang mencapai objektif tetapi juga tentang perjalanan yang penuh dengan pengorbanan, masa, tenaga dan ilmu,” ujarnya.
Tahun ini, Hafiz membuat keputusan untuk fokus sepenuhnya kepada SISKOR dan Pertubuhan Sukarelawan SISWA UniSZA (PERSIS).

Keputusan itu bukan dibuat secara terburu-buru tetapi berdasarkan keinginannya untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan dan memberi sepenuh perhatian kepada organisasi yang telah banyak memberi impak kepada dirinya.
“Keputusan ini memang tidak mudah, kerana terdapat banyak tawaran daripada persatuan lain.
“Namun, saya percaya dengan memberi fokus kepada SISKOR dan PERSIS, saya dapat menyumbang lebih banyak kepada masyarakat luar sambil mempromosikan kor saya sebagai agensi yang membantu pihak penjara dalam mencipta kesedaran tentang ketenteraman awam,” tambahnya.
Hafiz juga mengutamakan kepimpinan berasaskan badan beruniform kerana ia menekankan disiplin, sistem yang jelas dan penghormatan terhadap ketua.
“Badan beruniform mengajar kita tentang kekemasan, ketetapan dalam setiap peraturan dan menjaga kebajikan anggota secara adil.
“Setiap arahan jelas dan tiada ‘double standard’ dalam organisasi,” katanya.
Dia percaya bahawa setiap organisasi, sama ada kelab atau persatuan mempunyai kekuatan tersendiri tetapi asas kepimpinan yang baik adalah kebersamaan, komitmen dan keikhlasan dalam bekerja bersama. Hafiz juga berpendapat bahawa seorang pemimpin mahasiswa harus memiliki beberapa ciri utama seperti keteguhan pendirian dan kemampuan untuk mendengar serta menghormati pandangan orang lain.















