PETALING JAYA – Seekor kucing peliharaan yang hilang selama dua minggu mengejutkan pemiliknya apabila pulang ke rumah dengan seutas gelang emas di dalam mulut.
Kejadian itu dikongsi seorang wanita, Fatin menerusi ruangan komen ketika dia membalas hantaran seorang pengguna Facebook yang bertanya apa pengalaman pelik dilakukan kucing anda.
“Kucing aku pernah hilang dua minggu, bila balik siap bawa gelang emas budak dalam mulut. Aku ingat dia dah mati atau sakit sebab hilang lama, rupanya belajar jadi perompak. Memang jenis Oyen ni banyak akalnya kan,” kongsinya.
Fatin kemudian menyerahkan gelang berkenaan kepada pihak polis bagi mengelak tuduhan mencuri.
“Aku serah dekat balai, pandai-pandai la polis nak buat apa. Tapu sejak itu memang kena denda la Oyen aku, kalau pemilik buat report (laporan polis) dengan aku dikatakan subahat kena sumbat masuk jel,” katanya.
Rata-rata netizen terhibur dengan perkongsian Fatin itu sambil berseloroh bahawa kucing tersebut pandai mencari ‘pendapatan’ sendiri.
“Oyen kerja ‘part-time’ cari barang kemas sekarang, buat tambah pendapatan beli Royal Canin,” tulis @Hana_arie.
“Kalau emas tu ada nama pemilik, jangan lupa bagi balik. Tapi Oyen memang ‘legend’,” komen Afif Aiman.
“Haritu aku baca kes Oyen curi selipar penduduk taman, ini lagi ‘rare’, gelang emas dalam mulut,” ujar Asyikin. – KOSMO! ONLINE














