fbpx
Hantaran Farah Fakhira di Instagramnya semalam.

‘Abang…banyak awak rakam tentang saya, seolah-olah sudah siapkan semuanya’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Pempengaruh dan penulis, Farah Fakhira Fakhrulruzi sekali lagi memuat naik hantaran penuh emosi di Instagramnya semalam, mengenang pemergian suami tercinta sehingga meraih lebih satu juta tontonan kurang dari 24 jam.

Dalam coretan panjang dan disertakan dengan rakaman kenangan, Farah Fakhira meluahkan rasa rindu terhadap arwah suaminya, Zaidul Ariff Abdul Malek yang disifatkan sebagai lelaki penyayang serta bertanggungjawab.

Menurutnya, sejak meneliti semula telefon milik Allahyarham, dia terkejut menemui terlalu banyak gambar dan video dirinya yang dirakam secara senyap oleh suami seolah-olah sebagai kenangan untuk ditinggalkan.
“Abang, kenapa terlalu banyak yang awak record (rakam) tentang saya dalam handphone (telefon) awak ini. Seolah-olah awak dah siapkan semuanya sebelum awak nak pergi.

“Saya tak sangka terlalu banyak gambar video saya yang awak ambil senyap-senyap. Awak simpan semua kenangan ni untuk saya tengok dan kenangkan,” tulisnya.

Farah Fakhira turut menggambarkan perubahan besar dalam kehidupannya selepas kehilangan insan tersayang itu.

Katanya, walaupun sebelum ini dia seorang wanita berdikari, kehidupannya berubah apabila hidup bersama suami yang banyak mengambil berat dan menjaga segala urusannya.

“Saya memang orangnya independent (berdikari) sebelum kenal awak, tapi bila dah hidup bersama saya sangat dependent (bergantung) dengan awak. Bila awak tak ada saya rasa patah kaki sangat, saya jadi tak tahu nak start (mula) dekat mana,” luahnya.

Dalam hantaran itu juga, wanita itu memuji keperibadian Allahyarham yang dianggap suami soleh dan bertanggungjawab, bahkan tidak pernah mengabaikan nafkah serta tanggungjawab terhadap dirinya.

“Saya minta sangat dengan Allah, jika ada pahala dekat saya, bagilah semua dekat awak. Dan tak ada satu pun yang saya nak tuntut, nafkah tanggungjawab semua awak selesaikan dengan baik.

“Ya Allah, aku bersaksi bahawa suamiku lelaki soleh dan aku reda kepadanya. Maka masukkanlah dia ke dalam syurgaMu,” katanya.

Sementara itu, ramai netizen menyifatkan catatan Farah Fakhira sebagai bukti kasih sayang sejati antara suami isteri yang kekal hingga ke akhir hayat.

“Moga terus kuat Farah, setiap kenangan itu akan jadi kekuatan untuk awak teruskan hidup,” tulis Yaauni.

“Terus kuat dan kuat,” kata Nuramirah.

“Pernah menjadi saksi melihat betapa Allahyarham Zaidul meratukan Farah dalam setiap perkara. Semoga terus kuat Farah, jaga diri,” komen Nur Majdina.

Terdahulu, Allahyarham Zaidul Ariff disahkan meninggal dunia ketika dikejarkan ke hospital selepas pengsan secara tiba-tiba sewaktu bermain badminton pada Khamis lalu.

Jenazah Zaidul Ariff dibawa ke Masjid Sendeng Jalan Jelebu untuk disolatkan dan selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Jalan Paroi-Kuala Pilah. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN