fbpx
Gambar hiasan.

Soal keselamatan sekolah tanggungjawab penuh pentadbir – Fadhlina

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

GEORGE TOWN – Kementerian Pendidikan (KPM) menggesa semua pihak sekolah memberi tumpuan dan tanggungjawab sepenuhnya terhadap soal keselamatan pelajar terutama melibatkan infrastruktur di sekolah.

Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, pihaknya telah mengambil pendekatan yang sangat progresif dalam memastikan soal keselamatan pelajar di sekolah diberi keutamaan.

Ini rentetan insiden seorang murid tahun tiga yang dilaporkan meninggal dunia selepas terjatuh ke dalam saluran pembetung di sebuah sekolah di Lenggeng, Nilai, September lalu.

“Saya juga telah bercakap dengan pihak JKR (Jabatan Kerja Raya) dan pihak keselamatan dan juga pihak sekolah secara keseluruhannya, bukan sekolah yang terbabit saja, bahawa soal-soal keselamatan ini mesti diberikan tumpuan penuh khususnya terkait rapat dengan infrastruktur.

“Jadi soal keselamatan ini mesti menjadi tanggungjawab penuh pentadbir, memastikan keseluruhan dan kejadian ini tidak berulang,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas hadir merasmikan Wacana Fikrah Siddiq Fadzil di Institut Pendidikan Guru, Kampus Pulau Pinang di sini, hari ini.

Dalam pada itu, katanya lagi, KPM telah mengambil pelbagai intervensi dan juga mekanisme dalam menambah baik aspek keselamatan di sekolah termasuk di kawasan kemalangan ataupun lokasi yang tidak dijangka.

“Begitu juga dengan penyelenggaraan, ini juga aspek yang sangat penting yang pentadbir harus bertanggungjawab dan juga ambil maklum dengan segera serta aspek-aspek lain termasuk menambah baik aspek keselamatan dan juga fasiliti di sekolah.

“Jadi mudah-mudahan semua tindakan ini diberikan tumpuan oleh pentadbir dan kita tambah baik untuk mengelakkan kejadian seperti ini berulang di masa hadapan,” katanya.

Semalam, media melaporkan kes murid sekolah terjatuh dalam saluran kumbahan di sebuah sekolah di Lenggeng, Nilai pada 27 September lalu diklasifikasikan sebagai tiada tindakan lanjut (NFA).

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad dilaporkan berkata, ia selepas siasatan mendapati kejadian itu merupakan satu kemalangan dan tiada unsur pengabaian. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI