MELAKA – Penduduk di tiga kampung dalam kawasan Tangga Batu bakal menikmati kemudahan moden berteraskan teknologi hijau dan pendidikan digital apabila Jabatan Tenaga Atom Malaysia (Atom Malaysia) memperuntukkan lebih RM1 juta bagi Program Kampung Angkat Madani (KAM) dan Sekolah Angkat Madani (SAM).
Peruntukan itu memanfaatkan Kampung Tangga Batu Kechil, Kampung Bukit Salleh dan Kampung Paya Luboh, termasuk Sekolah Kebangsaan Tangga Batu sebagai sekolah angkat.
Ketua Pengarah Atom Malaysia, Noraishah Pungut berkata, inisiatif itu memberi tumpuan kepada pembangunan komuniti luar bandar secara menyeluruh melalui pemerkasaan infrastruktur, kebajikan penduduk dan akses pembelajaran digital.
“Sebanyak RM1 juta diperuntukkan kepada projek Kampung Angkat Madani manakala RM100,000 untuk Sekolah Angkat Madani.
“Ini bukan sekadar pembangunan fizikal tetapi pelaburan jangka panjang untuk komuniti,” katanya pada majlis penyerahan program berkenaan di Masjid Ibadurrahman, Kampung Tangga Batu Kechil, hari ini.
Majlis itu disempurnakan Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Kundor, Datuk Tuminah Kadi.
Menurut Noraishah, projek dilaksanakan meliputi pembinaan jalan kampung baharu, kemudahan tandas warga emas, dewan serbaguna terbuka, pemasangan sistem solar dan pembinaan telaga tiub bagi memastikan akses air bersih serta tenaga lestari.
Katanya, sistem solar dan telaga tiub bukan sahaja meningkatkan taraf hidup penduduk, malah selari sasaran negara mengurangkan pelepasan karbon menjelang 2050.
“Bagi komponen pendidikan, kita memperkasakan sekolah melalui penyediaan kemudahan digital seperti televisyen Google, televisyen pintar, kipas baharu, papan tanda sekolah dan perabot kantin lebih selesa,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE














