NARATHIWAT, THAILAND – Polis Thailand sedang memburu suspek yang dipercayai menembak mati seorang lelaki rakyat Malaysia di Sungai Golok dekat sini semalam.
Jurucakap Polis Wilayah Narathiwat ketika dihubungi berkata, suspek dikenali sebagai Haris Samae, 31 tahun, melarikan diri menggunakan sebuah pikap selepas kejadian.
“Gambar suspek telah diperoleh dan rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) turut mengesan pikap jenis Toyota Vigo dengan nombor pendaftaran Narathiwat dinaiki lelaki itu untuk melarikan diri. Gerakan memburu suspek masih diteruskan di sekitar wilayah ini. Kami menjangka suspek akan ditangkap tidak lama lagi,” katanya.
Jurucakap itu memberitahu, hasil bedah siasat mendapati, mangsa terkena lapan das tembakan di badan menggunakan sepucuk pistol 9 milimeter.
Kosmo! Online hari ini melaporkan, rakyat Malaysia yang parah selepas dipercayai ditembak dengan lapan das tembakan dalam kejadian di Sungai Golok, Thailand malam tadi meninggal dunia hari ini selepas lebih dua jam bertarung nyawa.
Dalam kejdian kira-kira pukul 6.40 petang itu, mangsa, Mohd. Fuad Fahmie Ghazali, 33, meninggal dunia semasa menerima rawatan di Hospital Sungai Golok pada pukul 9 malam. – KOSMO! ONLINE














