PETALING JAYA – Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir susulan jangkaan cuaca buruk di tiga negeri sehingga pukul 12 tengah hari ini.
MetMalaysia dalam satu hantaran memaklumkan, ribut petir, hujan lebat dan angin kencang dijangka berlaku di Negeri Sembilan melibatkan daerah Seremban, Port Dickson, Kuala Pilah, Rembau, Jempol dan Tampin.
Selain itu, keadaan sama juga tertumpu di Melaka membabitkan daerah Alor Gajah manakala di Sarawak hanya berlaku sekitar Kuching (Kuching).
Menurut MetMalaysia, amaran berkenaan dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 mili meter per jam yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam.
Jelasnya, ia merupakan amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran. – KOSMO! ONLINE














