fbpx
Gambar hiasan.

12,500 murid Selangor terima vaksin influenza percuma minggu depan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SHAH ALAM – Program pemberian vaksin influenza percuma kepada 12,500 murid di empat daerah Selangor akan bermula minggu depan bagi melindungi golongan kanak-kanak berisiko tinggi daripada jangkitan penyakit itu.

Exco Kesihatan Awam dan Alam Sekitar Selangor, Jamaliah Jamaluddin berkata, program itu merangkumi daerah Petaling, Klang, Gombak dan Hulu Langat yang merekodkan kadar jangkitan influenza tertinggi di negeri ini.

Menurutnya, inisiatif berjumlah RM1 juta itu dilaksanakan bagi memastikan kanak-kanak khususnya daripada keluarga berpendapatan rendah mendapat perlindungan terhadap jangkitan influenza serta mengurangkan penularannya dalam komuniti.

“Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) menyarankan agar murid berumur lapan tahun dan ke bawah menerima dua dos vaksin influenza, kecuali bagi mereka yang pernah menerima vaksin berkenaan sebelum ini.

“Langkah ini penting untuk memastikan imunisasi yang lebih optimum terhadap jangkitan, khususnya dalam kalangan kanak-kanak yang berisiko tinggi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini

Beliau berkata, program itu akan dilaksanakan melalui dua kaedah antaranya Program Outreach dengan pasukan outreach akan digerakkan ke sekolah-sekolah yang mempunyai Pusat Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) bagi memberi vaksin influenza kepada kira-kira 4,720 murid berumur lapan tahun ke bawah daripada keluarga B40.

“Setiap murid akan menerima risalah maklumat lengkap mengenai program ini bersama kod QR untuk ibu bapa membuat pendaftaran melalui aplikasi SELangkah.

“Kerajaan negeri melalui Selcare Management Sdn. Bhd. akan bekerjasama dengan Jabatan Pendidikan Negeri, Jabatan Kesihatan Negeri, pihak pentadbiran sekolah dan Pusat Khidmat Masyarakat bagi memastikan kelancaran program itu,” ujarnya.

Mengulas lanjut, kata Jamaliah, kaedah kedua menerusi secara Walk-In di Klinik Selcare dan Klinik Panel daripada kanak-kanak daripada keluarga B40 yang mempunyai komorbid atau penyakit kronik tetapi tidak bersekolah di institusi dengan PPKI.

Tambahnya, ibu bapa perlu mendaftar dan mengesahkan status melalui aplikasi SELangkah sebelum hadir ke klinik.

Jamaliah menegaskan, kerajaan negeri kekal komited memastikan kesejahteraan rakyat khususnya kanak-kanak dan keluarga berpendapatan rendah terus terpelihara.

“Program vaksinasi Influenza ini bukan sahaja membantu mengurangkan beban kewangan keluarga B40, malah meningkatkan tahap kesihatan serta kehadiran anak-anak ke sekolah.

“Justeru, kerajaan negeri menyeru semua ibu bapa yang layak supaya segera mendaftar melalui aplikasi SELangkah dan memanfaatkan peluang yang disediakan ini bagi melindungi anak-anak daripada jangkitan Influenza,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI