fbpx
Machuca antara pemain warisan yang digantung oleh FIFA ketika ini.

Isu FIFA: Velez teguh di belakang Machuca

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KEPUTUSAN tribunal rayuan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) berhubung rayuan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengenai isu pemalsuan dokumen tujuh pemain skuad Harimau Malaya bakal didedahkan kepada umum seawal malam Isnin atau Selasa depan.

Perkara itu didedahkan oleh kumpulan penyokong pasukan Velez Sarsfield yang juga sumber rapat kepada salah seorang pemain warisan Harimau Malaya, Imanol Machuca yang masih digantung ketika ini.

Menurut dakwaan kumpulan tersebut yang dikenali sebagai Sabado Velez di laman sosial X, FIFA telah melakukan persidangan pada Khamis lepas dengan Velez yang turut menyatakan hujah untuk membela Machuca yang dianggap tonggak utama pasukan itu musim ini.

“Pada hari Khamis lalu, perbicaraan berlangsung di mana pihak pembelaan Imanol Machuca mengemukakan hujah mereka kepada FIFA.

“Notifikasi dengan keputusan muktamad dijangka akan dikeluarkan antara hari Isnin (esok) atau Selasa (minggu depan). Pihak yang rapat dengan pemain Velez (Macucha) optimis semuanya akan berjalan dengan lancar,” kata status Sabado Velez.

Sebagai rekod, tribunal rayuan FIFA bersidang di ibu pejabat perundangan badan induk itu di Miami, Amerika Syarikat (AS) bagi memutuskan keputusan berkenaan rayuan yang dikemukakan oleh FAM pada awal bulan lalu.

Sekiranya semua proses berjalan lancar, keputusan rayuan sepatutnya dikeluarkan oleh FIFA selewatnya awal pagi semalam tetapi tidak berlaku atas sebab-sebab yang tidak diketahui umum dan hanya didedahkan dalam masa terdekat.

Pada September lepas, arena bola sepak negara digemparkan susulan hukuman FIFA telah menggantung tujuh pemain warisan Malaysia selepas didapati melakukan pemalsuan dokumen selain memberi denda kepada FAM sebanyak 350,000 franc Swiss (RM1.8 juta).

Selain Macucha, enam lagi pemain yang digantung FIFA adalah Facundo Garce, Hector Hevel, Gabriel Palmero, Rodrigo Holgado, Joao Figueiredo dan Jon Irazabal.

Jika tiada perubahan dalam proses rayuan, FAM dijangka mengheret kes ini ke Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) bagi mendapatkan keadilan demi memulihkan semula maruah bola sepak negara yang tercalar ketika ini. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI