fbpx
Gambar hiasan. Foto BANGKOK POST

90 peratus kes letupan bom di Selatan Thailand sasar tentera, polis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

NARATHIWAT, THAILAND – Kira-kira 90 peratus kes melibatkan kejadian letupan bom buatan sendiri yang berlaku di kebanyakan lokasi di Wilayah Selatan Thailand menyasarkan pihak tentera, polis dan sukarelawan pertahanan.

Timbalan Gabenor Wilayah Narathiwat, Wichan Chaisetthasamphan berkata, statistik tersebut dikumpul pihak berkuasa Thailand melalui kejadian letupan yang berlaku di wilayah tersebut sejak 20 tahun lalu.

Menurutnya, kumpulan yang terlibat melakukan pengeboman itu juga tidak menyasarkan golongan pelancong atau orang luar terutamanya dari Malaysia.
“Setakat ini, tiada pelancong atau rakyat Malaysia yang mati dalam kejadian letupan bom yang berlaku di Selatan Thailand. Jika ada kes melibatkan rakyat Malaysia, ia sangat terpencil dan hanya melibatkan kecederaan ringan kerana mereka kebetulan berada berhampiran lokasi letupan.

“Berdasarkan rekod, sebanyak 80 hingga 90 peratus kes letupan bom dalam tempoh 20 tahun lalu menyasarkan kepada tentera, polis dan sukarelawan pertahanan yang bertugas di lokasi pusat pemeriksaan,” katanya ketika ditemui pemberita di Pejabat Gabenor Wilayah Narathiwat di sini baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Wichan menegaskan, kawasan Selatan Thailand masih selamat untuk rakyat Malaysia datang dan melancong ke wilayah ini.

Menurutnya, kira-kira 90 peratus penduduk di Selatan Thailand yang beragama Islam juga menjadikan rakyat di wilayah ini lebih mesra dan dekat dengan pelancong Dari Malaysia.

“Justeru, saya berharap pelancong dari Malaysia tidak takut dan bimbang apabila berada di Selatan Thailand kerana keselamatan mereka terjamin selain bukan menjadi antara golongan sasaran kepada kumpulan tertentu untuk dijadikan mangsa pengeboman.

“Berdasarkan maklumat, ahli kumpulan yang terlibat dengan kejadian letupan bom di wilayah ini melarikan diri ke negara jiran bagi mengelakkan mereka ditahan,” ujarnya.

Beliau berkata, sehubungan itu, pihak kerajaan Thailand bersetuju dengan tindakan pihak berkuasa Malaysia yang menjalankan kerja-kerja meroboh pangkalan haram di Sungai Golok dekat Kelantan baru-baru.

Kosmo! Online semalam melaporkan, Panglima Tentera Wilayah Ke-4, Leftenan Jeneral Naratip Phoyanok berkata, kejadian letupan bom buatan sendiri yang berlaku di kebanyakan lokasi di Wilayah Selatan Thailand sejak kebelakangan ini dipercayai menggunakan baja urea yang diseludup dari negara jiran.

Menurutnya, maklumat tersebut diperoleh selepas pihaknya menahan suspek yang dipercayai terlibat dengan kegiatan pembuatan bom di kawasan Thailand-Malaysia kira-kira dua bulan lalu.

Berdasarkan rekod, dua anggota Pasukan Pertahanan Sukarelawan Thailand maut dalam insiden letupan bom dan tembak-menembak di Sungai Golok dekat sini pada 8 Mac lalu.

Pada 20 Ogos lalu, empat anggota Pasukan Pertahanan Sukarelawan cedera selepas kereta dipasang bom yang menyasarkan pusat pemeriksaan meletup di Kampung Khok Mafueang, Mukim Salamai, Tak Bai di sini.

Selepas itu, dua cedera dalam tujuh siri letupan bom yang menggegarkan tiga wilayah Selatan Thailand iaitu Narathiwat, Yala dan Pattani bermula tengah malam hingga awal pagi pada 1 September lalu.

Terbaharu, seorang anggota sukarelawan Pasukan Pertahanan Sukarelawan terbunuh manakala dua renjer cedera dalam insiden letupan bom di dua lokasi berasingan di Narathiwat, di sini pada 27 Oktober lalu. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI