PETALING JAYA – Tujuh warga Malaysia yang diburu pihak berkuasa Kemboja berhubung kegiatan penipuan siber berjumlah RM130 juta kini berada dalam senarai dikehendaki Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M. Kumar berkata, usaha mengesan kesemua individu terbabit sedang giat dijalankan oleh pihak polis.
“Kesemua tujuh suspek warga Malaysia disenaraikan dalam senarai orang yang dikehendaki bagi tujuan tangkapan dan siasatan lanjut.
“PDRM kekal komited memperhebat usaha pengesanan dengan menjalin kerjasama erat bersama agensi penguat kuasa dalam dan luar negara,” katanya dalam kenyataan, malam tadi.
Beliau berkata, PDRM turut menegaskan komitmen memperkukuh kerjasama antarabangsa bagi membanteras jenayah rentas sempadan yang boleh mengancam ketenteraman awam dan keselamatan negara.
Terdahulu, Pasukan Polis Singapura (SPF) mendedahkan 27 warga Singapura dan tujuh rakyat Malaysia disyaki terbabit dalam kegiatan jenayah siber bernilai kira-kira RM130 juta yang berpangkalan di Kemboja.
Menurut SPF, operasi penguatkuasaan bersama Polis Kebangsaan Kemboja dilancarkan pada 9 September lalu terhadap Kumpulan Jenayah Terancang (OCG) yang menyamar sebagai pegawai kerajaan dan menyasarkan mangsa di Singapura.
Susulan operasi awal di Kemboja, SPF memaklumkan bahawa 15 suspek terdiri daripada 12 rakyat Singapura, dua rakyat Malaysia dan seorang warga Filipina ditahan di Singapura, sebelum didakwa pada 11 dan 12 September atas pertuduhan menjadi ahli OCG yang berpangkalan di negara itu.
Hasil siasatan lanjut dan bukti dikumpul di Kemboja, SPF mengenal pasti tambahan 27 rakyat Singapura dan tujuh rakyat Malaysia yang dipercayai turut menjadi anggota kumpulan sama serta beroperasi dari kompleks penipuan di Phnom Penh. – KOSMO! ONLINE














