PETALING JAYA – Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menyertai “Walk With Al-Sultan Abdullah: The King of Sports” di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur pada 5 November depan.
Ketua Pegawai Eksekutif ShekhinahPR, Datuk Christopher Raj dalam satu kenyataan berkata, objektif utama penganjuran adalah bagi meraikan warisan sukan negara dengan mengiktiraf jasa atlet yang telah membentuk sejarah Malaysia.
Kata Christopher, penganjuran program itu juga bertujuan menggalakkan gaya hidup sihat melalui aktiviti berjalan kaki yang inklusif serta memperkukuh hubungan antara institusi diraja dan legenda sukan negara.
“Keberangkatan Paduka Baginda Al-Sultan Abdullah ke acara ini menzahirkan pengiktirafan berterusan terhadap peranan sukan sebagai tonggak identiti, kebanggaan dan perpaduan negara.
“Walk With Al-Sultan Abdullah: The King of Sports” dijangka menjadi satu acara yang memperingati sejarah negara, semangat kesukanan dan perpaduan nasional, sekali gus mengingatkan kita bahawa langkah paling bermakna ialah langkah yang diambil bersama-sama,” katanya.
Walk With Al-Sultan Abdullah: The King of Sports telah dianjurkan dengan kerjasama Yayasan Al-Sultan Abdullah (YASA) dan bakal menghimpunkan legenda sukan seperti Datuk Santokh Singh (bola sepak), Datuk Rashid Sidek (badminton), Nor Saiful Zaini Nasiruddin (hoki), G. Shanti (olahraga) dan Datuk Leong Mun Yee (terjun). – KOSMO! ONLINE














