fbpx
SEBAHAGIAN struktur tiang kayu dipercayai komponen asal kapal gergasi era Kesultanan Melaka yang ditemui di tapak ekskavasi Pulau Melaka hari ini. - Foto oleh AMRAN ALI/KOSMO!

Rangka kapal gergasi 900 tahun milik pembesar Melaka ditemui

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MELAKA – Sebuah rangka kapal kayu gergasi yang dipercayai milik seorang pembesar Kesultanan Melayu Melaka dan berusia antara 800 hingga 900 tahun ditemui di Pulau Melaka, sekali gus membuka lembaran baharu buat sejarah maritim kerajaan Melayu.

Kapal bersaiz antara 50 hingga 70 meter panjang itu disahkan sebagai antara yang terbesar dan tertua pernah ditemui di Malaysia, dan menunjukkan kemampuan teknologi perkapalan orang Melayu pada abad ke-13.

Timbalan Pesuruhjaya Jabatan Warisan Negara (JWN), Ruzairy Arbi berkata, penemuan luar biasa itu dianggap bukti jelas kewujudan armada kapal bangsawan dan golongan elit Melaka pada zaman awal kegemilangan kesultanan tersebut, jauh sebelum kedatangan kuasa penjajah.

Katanya, ujian pentarikhan saintifik terhadap sampel kayu yang dihantar ke makmal Beta Analytic, Amerika Syarikat, turut mengesahkan kayu berkenaan berasal dari sekitar tahun 1200 hingga 1300 Masihi, hampir selari dengan era awal penubuhan Kesultanan Melaka.

KERJA-KERJA membersihkan serpihan kayu dipercayai komponen asal kapal gergasi era Kesultanan Melaka yang ditemui di tapak ekskavasi Pulau Melaka hari ini. – Foto oleh AMRAN ALI/KOSMO!

“Penemuan ini dianggap antara yang paling signifikan dalam sejarah arkeologi negara kerana saiznya hampir menyamai kapal legenda Mendam Berahi, yang sering dikaitkan dengan kehebatan armada Kesultanan Melayu Melaka.

“Kapal ini dianggarkan sepanjang 50 hingga 70 meter, menjadikannya antara struktur maritim tradisional terbesar yang pernah ditemui di Malaysia.

“Saiznya dan kajian awal tapak menunjukkan ia bukan kapal dagang biasa, tetapi dipercayai milik pembesar Kesultanan Melaka, seiring kemampuan kapal legenda seperti Mendam Berahi pada zaman kemuncak Melaka,” ketika ditemui pemberita, di sini lokasi, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut beliau berkata, antara artifak yang ditemui termasuk serpihan porselin dan duit syiling era Sultan Mahmud Shah.

ANTARA artifak yang ditemui di tapak ekskavasi Pulau Melaka termasuk serpihan porselin dan duit syiling zaman Sultan Mahmud Shah, yang dipercayai milik kapal pembesar Kesultanan Melaka berusia sehingga 900 tahun. Foto oleh AMRAN ALI/KOSMO!

“Penemuan artifak itu menandakan kapal ini milik golongan berstatus tinggi dalam istana Melaka, bukan pedagang.

“Struktur kapal yang diperbuat daripada kayu saga dan merbau iaitu dua spesies premium Nusantara, sekali gus menolak kemungkinan ia kapal asing atau penjajah, sebaliknya membuktikan ia buatan tempatan,”jelasnya.

Katanya, kerja ekskavasi kini memasuki fasa ketiga dengan peruntukan RM200,000 daripada Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) bagi menyelamatkan keseluruhan komponen rangka dan artifak sebelum proses konservasi dilakukan untuk dipamerkan kepada umum oleh Perbadanan Muzium Melaka (Perzim).- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI