PETALING JAYA – “Puaslah kau! (sambil memandang pegawai penyiasat)” kata ibu kepada Zaim Ikhwan Zahari dengan nada marah sebelum beredar dari kawasan mahkamah, sebaik keputusan terhadap menantunya, Ismanira Abdul Manaf, diumumkan hari ini.
Wanita itu berkata demikian sejurus selepas prosiding tamat dan Ismanira diperintah menjalani pemenjaraan serta-merta.
Pada masa sama, Zaim Ikhwan Zahari, 30, turut menjerit ke arah pegawai penyiasat sama dengan berkata “semoga Allah laknat” sehingga beberapa ahli keluarga terpaksa menenangkannya sebelum membawanya keluar dari kamar mahkamah menuju ke lokasi sidang media.
Terdahulu Ismanira dipenjara selama lima tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan mengabaikan anaknya.
Hakim Dr. Syahliza Warnoh memutuskan demikian selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah dan pihak pendakwaan berjaya menimbulkan kes melangkaui keraguan munasabah terhadap Ismanira Abdul Manaf, 30, diakhir kes pembelaannya.
Mahkamah memerintahkan hukuman penjara lima tahun itu bermula dari tarikh sabitan selain tertuduh perlu menjalani bon berkelakuan baik dalam tempoh dua tahun dengan seorang penjamin warganegara tempatan, berserta cagaran RM3,000.
Selain itu mahkamah turut mengarahkan Ismanira menjalani khidmat masyarakat selama 120 jam dan perlu diselesaikan dalam tempoh enam bulan selepas tamat hukuman pemenjaraan selain permohonan penangguhan hukuman ditolak.
Dengan itu, Ismanira perlu menjalani hukuman penjara tersebut serta-merta di Penjara Wanita Kajang. – KOSMO! ONLINE
 
								
 
								 
											













 
														
