JURULATIH Selangor FC, Christophe Gamel mengakui kecewa dengan benteng rapuh pasukan itu walaupun misi untuk lolos ke separuh akhir ke pusingan separuh akhir Piala FA berjaya direalisasikan.
Pada aksi suku akhir kedua bertemu Negeri Sembilan FC (NSFC) kelmarin, skuad Gergasi Merah yang memiliki kelebihan 4-0 gagal memanfaatkan kelebihan di laman sendiri selepas tewas 2-3 kepada pasukan kendalian Nidzam Jamil itu.
Menurut Gamel, barisan pertahanan gagal mempamerkan prestasi konsisten dengan membiarkan jentera serangan NSFC mudah melakukan serangan sehingga gawang dibocori tiga kali.
“Perlawanan ini menyerlahkan masalah utama pasukan yang tidak konsisten. Ketika bertemu KL City ( dalam aksi Liga Super baru-baru ini), pertahanan kami cukup ampuh, tetapi situasi berbeza pada aksi kali ini.
“Namun, saya enggan terlalu kecewa kerana ini adalah proses. Kelemahan benteng tak boleh diperbetulkan dalam satu atau dua sesi latihan,” katanya selepas tamat perlawanan.
Mengulas lanjut, jurulatih import dari Perancis mengakui jadual padat juga menjadi salah satu punca pasukan berdepan dengan isu untuk kekal konsisten pada setiap aksi yang diharungi.
“Saya tidak tahu bagaimana jadual perlawanan ini disusun. Sangat jelas ia tidak membantu kami untuk buat persiapan lebih rapi tetapi kami akan hadapi apa saja cabaran,” katanya.
Keputusan tersebut tidak menghalang skuad Merah Kuning untuk mara ke separuh akhir dengan agregat 6-3 dan bakal berdepan Sabah FC dalam misi ke pentas final.














