HAVANA, Cuba – Angka kematian akibat Taufan Melissa meningkat kepada hampir 50 orang kelmarin, kata beberapa pegawai semalam selepas ribut ganas itu memusnahkan pulau-pulau Caribbean dan menuju ke Bermuda.
Banjir dijangka surut di Bahamas, namun paras air tinggi mungkin berterusan di Cuba, Jamaica, Haiti dan Republik Dominika, kata Pusat Taufan Kebangsaan Amerika Syarikat (NHC).
Merupakan antara ribut paling kuat pernah direkodkan, Melissa dipercayai berpunca daripada kesan perubahan iklim dunia disebabkan oleh aktiviti manusia, demikian menurut kajian Imperial College London.
Ribut tropika berlaku di Bermuda lewat kelmarin dan pulau itu berada di bawah amaran taufan, dengan kelajuan angin maksimum berterusan mencecah 155 kilometer sejam, kata NHC.
Kerajaan Bermuda menggesa penduduk mengambil langkah berjaga-jaga.
Melissa membadai Jamaica dan Cuba dengan kekuatan dahsyat, manakala penduduk sedang menilai kerugian mereka dan mengambil masa yang panjang untuk pulih.
“Angka korban disahkan akibat Taufan Melissa kini mencecah 19 orang termasuk sembilan di Westmoreland dan lapan di St. Elizabeth,” kata Menteri Penerangan Jamaica, Dana Morris Dixon kepada media tempatan termasuk Jamaica Gleaner.
Di negara miskin Haiti, agensi pertahanan awam berkata, angka kematian meningkat kepada 30 orang, manakala 20 mangsa cedera dan 20 yang lain hilang.
Menurutnya, lebih 1,000 rumah dilanda banjir, dengan kira-kira 16,000 orang berada di pusat-pusat perlindungan sementara.
Di timur Cuba yang bergelut dengan krisis ekonomi terburuk dalam tempoh beberapa dekad, orang ramai mengharungi jalan-jalan yang digenangi air, manakala banyak rumah runtuh.
Pihak berkuasa Cuba berkata, kira-kira 735,000 orang dipindahkan terutamanya di wilayah Santiago de Cuba, Holguin dan Guantanamo. – AFP
 
								
 
								 
											












 
														
