LIVERPOOL – Prestasi tidak menentu Liverpool berterusan selepas tewas 0-3 kepada Crystal Palace pada pusingan keempat Piala Liga Inggeris (EFL) yang berlangsung di Anfield awal pagi semalam.
Keputusan itu terus meletakkan pengurusnya, Arne Slot berada dalam keadaan tidak selamat selepas tewas enam daripada tujuh perlawanan terakhir sehingga membuatkan penyokong The Reds mula meragui kemampuannya.
Pada perlawanan tersebut, Palace menjaringkan tiga gol menerusi dua jaringan Ismaila Sarr dan satu gol Yeremy Pino, sekali gus menjadi kemenangan ketiga The Eagles ke atas Liverpool musim ini.
Bagaimanapun, Slot berkata, tidak ada sebarang perubahan dari segi tekanan walaupun sekadar mencatat satu kemenangan dalam tujuh perlawanan selain mengakui penyokong masih berada di belakang pasukan.
“Memang kecewa apabila tewas dalam perlawanan seperti ini, terutamanya yang membuatkan anda tersingkir daripada saingan. Bagaimanapun, pemilihan pemain adalah sama seperti yang dilakukan musim lalu.
“Mungkin ada sebab tertentu mengapa kami tewas enam daripada tujuh perlawanan terakhir dan ia tidak boleh diterima. Di Liverpool, jika tewas lima atau enam kali, ia adalah sesuatu yang melampau,” katanya.
Tambah bekas pengendali Feyenoord itu, masih ada beberapa perkara positif yang dapat diambil daripada kekalahan tersebut bagi mempersiapkan pasukan menjelang aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) hujung minggu ini.
“Tekanan itu sentiasa ada dan ia tidak berubah, cuma sekarang kami perlu mengalihkan perhatian untuk Liga Perdana. Walaupun kalah tetapi ada beberapa perkara positif boleh diambil,” ujar Slot. – AGENSI














