fbpx
Adam Lee mengakui dia dan isterinya, Sweet Qismina sedaya upaya mencuba secara semula jadi sebelum mempertimbangkan sebarang rawatan persenyawaan in-vitro (IVF).

‘Bab anak ni, kami cuba secara organik, IVF jalan terakhir…’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Tiga tahun melayari alam rumah tangga tanpa kehadiran cahaya mata, pelakon Adam Lee mengakui dia dan isterinya, Sweet Qismina sedaya upaya mencuba secara semula jadi sebelum mempertimbangkan sebarang rawatan persenyawaan in-vitro (IVF).

Percaya ketentuan Tuhan, Adam atau nama sebenarnya Muhammad Arif Adam Mohamed Fadlee, 31, berkata, rawatan IVF hanya akan dipertimbangkan jika segala usaha mereka menemui jalan buntu.

“Kalau bab anak ini, kami masih mencuba secara organik. Kami belum berbincang untuk buat IVF. Mungkin itu jalan terakhir.

“Kami pun sudah buat pemeriksaan kesuburan sejak tahun pertama kahwin. Doktor beritahu kami berdua subur dan tiada masalah untuk dapat anak,” katanya kepada Kosmo! Online.

Tambah pelakon filem Babah itu, dia sangat maklum bahawa prosedur rawatan tersebut agak menggerunkan apatah lagi memikirkan kesakitan yang perlu ditanggung isterinya.

“Saya jujur takut. Tak sampai hati nak tengok Sweet lalui prosedur sakit. Selagi boleh cuba, kita cuba, lagi pun sudah halal, tiada masalah pun.

“Kami pun baru tiga tahun berkahwin, boleh kata baru lagi, bukannya sudah lama. Lagi pula, saya difahamkan kos IVF memang mahal dan boleh mencecah RM20,000 ke atas.

“Harga macam tu pun dah boleh buat ‘kitchen island’ untuk rumah,” ujarnya pada sidang media Sulalatus Salatin, di sini, baru-baru ini.

Mengulas mengenai video kejutan hari lahir isterinya yang tular baru-baru ini, Adam tidak menyangka hantaran tersebut mengundang perbincangan berkaitan zuriat.

Pun begitu, dia tidak berkecil hati malah menganggap setiap komen mengenai anak itu sebagai doa.

“Memang setiap kali buat hantaran ada sahaja komen mengenai anak. Saya tidak berkecil hati pun. Selagi orang bercakap, saya anggap itu doa.

“Bila mereka sebut soal anak, kita aminkan saja. Tak perlu marah atau cepat sensitif kecuali kalau ada komen melampau,” luahnya.

Terdahulu, Adam memuat naik video istimewa sempena ulang tahun perkahwinan mereka yang ketiga dan sambutan hari lahir Sweet ke-28 pada 24 Oktober lalu.

Sweet turut berkongsi video berbeza dan meraih lebih tiga juta tontonan di media sosial.

Untuk rekod, pasangan itu mendirikan rumah tangga pada 24 Oktober 2022. — KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI