PETALING JAYA – “Gagal jadi manusia, burung pun dicuri.”
Itu antara komen netizen selepas rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) seorang lelaki mencuri burung peliharaan mengundang kemarahan orang ramai di Kota Bharu, awal pagi tadi.
Menerusi hantaran pengguna Facebook, Yu KH, lelaki tersebut dipercayai memakai jaket berwarna merah dan topi keledar putih mencuri dua ekor burung di kawasan perumahan Telipot, Kota Bharu.
“Ada sesiapa yang kenal lelaki yang curi burung di kawasan perumahan Telipot, Kota Bharu?,” menurutnya pada ruang kapsyen.
Rakaman berdurasi 30 saat itu jelas menunjukkan lelaki berkenaan menghampiri kawasan perumahan itu seawal 4 pagi tadi, sebelum melarikan burung tersebut.
Perkongsian tersebut turut meraih pelbagai reaksi netizen yang mengecam tindakan tidak bermoral lelaki berkenaan, selain ada yang berpendapat rakaman CCTV itu sudah cukup jelas memperlihatkan wajahnya.
“CCTV sekarang banyak di semua tempat, pencuri dan penyamun zaman sekarang ini memang berani,” kata Azwan.
“Mudah betul jadi manusia sekarang ini, malas bekerja boleh mencuri saja. Kalau tak mahu fikir tentang dunia, fikirlah tentang akhirat nanti kerana mencuri ini azabnya berat,” kata Haikal.
“Selepas ini boleh letak alarm (penggera), biar terkejut pencuri. CCTV dah sesuai sebab letak tinggi, nampak jelas muka orangnya,” kata Fadhil. –KOSMO! ONLINE














