fbpx
Keadaan dua kereta Perodua Axia dan dua kereta Honda Accord yang terlibat dalam kemalangan maut di KM 79, Jalan Kuala Terengganu-Kota Bharu berhampiran Kampung Bukit Grebar, Setiu semalam.

Bayi sembilan bulan maut dalam kemalangan empat kenderaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SETIU – Perjalanan sebuah keluarga untuk pulang ke kampung berakhir tragedi apabila bayi perempuan berusia sembilan bulan maut manakala ibubapanya pula cedera dalam kemalangan melibatkan empat kenderaan di Kilometer 79, Jalan Kuala Terengganu-Kota Bharu berhampiran Kampung Bukit Grebar di sini semalam.

Kemalangan pada pukul 10.27 pagi itu menyebabkan mangsa, Nur Athiya Inara Isnorizal mengalami cedera parah pada bahagian kepala.

Bayi tersebut menghembuskan nafas terakhir kira-kira 10 jam kemudian ketika mendapatkan rawatan di Unit Kecemasan Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu. Ketua Polis Daerah Setiu, Superintenden Mohd. Zain Mat Dris berkata, sewaktu kejadian, keluarga tersebut dikatakan dalam perjalanan pulang ke kampung di Kampung Besut, Tumpat, Kelantan dari rumah mereka Kuala Ibai, Kuala Terengganu.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, kereta jenis Perodua Axia dinaiki keluarga itu yang dipandu bapa mangsa berusia 25 tahun dikatakan tiba-tiba hilang kawalan sebelum merempuh bahagian belakang sebuah ketika Perodua Axia lain yang sedang berhenti untuk membelok ke simpang kanan.

“Rempuhan tersebut menyebabkan kedua-dua kenderaan terbabit berpusing sebelum dilanggar sebuah kereta Honda Accord yang sedang melalui arah bertentangan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.

Mohd. Zain berkata, kereta Honda Accord tersebut yang dipandu seorang lelaki berusia 54 tahun kemudiannya hilang kawalan lalu melanggar pula sebuah kereta Honda Accord lain yang berada di bahu jalan.

Beliau berkata, Nur Athiya Inara yang cedera parah telah dikejarkan ke Unit Kecemasan Hospital Setiu di sini sebelum dipindahkan ke HSNZ dan disahkan telah meninggal dunia pada pukul 8.09 malam. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI