BATU PAHAT – Pelaku yang menyebabkan seorang kanak-kanak mengalami kecederaan di leher dipercayai dikelar dengan senjata tajam pada Isnin lalu sudah dikenal pasti hasil daripada siasatan awal sebelum ini.
Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani berkata, untuk tujuan itu, pihaknya telah merekod keterangan daripada abang mangsa bagi melengkapkan siasatan.
Katanya, abangnya yang berusia 9 tahun itu masih dibawah pemantauan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan cabutan keterangan itu dilakukan semalam. “Untuk menetapkan samada mangsa akan diletakkan dibawah JKM setelah pulih daripada kecederaan di lehernya, ia akan diputuskan melalui perbincangan antara polis, hospital dan JKM,”katanya ketika dihubungi hari ini.
Semalam, Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad dilaporkan berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan permainan dalam talian popular mungkin mempengaruhi insiden seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun cedera dikelar di leher di Batu Pahat.
Ujarnya, siasatan awal mendapati abang mangsa bermain secara berlebihan dan berjaya mengumpul kira-kira satu juta mata dalam permainan itu.
“Mangsa pula dipercayai merosakkan telefon abangnya dan mata yang dikumpulkan itu hilang.
“Hasil soal siasat yang dibuat terhadap abang mangsa, ada kemungkinan kesan daripada ‘game’ yang mana dia mengalami seperti halusinasi waktu malam dan seolah-olah disuruh untuk mencederakan ahli keluarganya,” katanya.-KOSMO! ONLINE














